UM - 25/10/10
![]() |
|
Penubuhan sebuah lagi institusi seumpama itu tetapi mempunyai konsep yang menekankan ciri-ciri keusahawanan dirasakan perlu diwujudkan.
Entiti ini akan menerajui Model Baru Ekonomi (MBE) dan membantu membawa orang Melayu kekal dalam arus pembangunan ekonomi ketika negara bergerak menjadi sebuah negara maju, kata ahli korporat tempatan, Datuk Johari Abdul Ghani.
Dalam satu pertemuan, beliau memperjelaskan lagi persoalan yang timbul daripada cadangan entiti itu dengan Wartawan Utusan Malaysia, AINUL ASNIERA AHSAN dan SARAH NADLIN ROHIM.
Berikut wawancara penuh.
UTUSAN: Pada perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Datuk menyarankan supaya kerajaan mewujudkan satu entiti lain seperti mana Permodalan Nasional Berhad. (PNB) untuk memperkasakan ekonomi orang Melayu. Apakah rasionalnya?
Datuk Johari: Maksud saya sewaktu kerajaan memperkenalkan DEB pada 30 tahun lalu, pada waktu itu orang Melayu serba-serbi tidak bersedia dan menyebabkan kerajaan menubuhkan PNB untuk mengumpulkan dana-dana orang Melayu yang kecil dan dilaburkan secara langsung dalam arus pembangunan ekonomi negara pada ketika itu. Kalau kita lihat PNB telah berjaya dapat mengumpulkan dana orang Melayu dan bumiputra melebihi RM120 bilion selain turut memasuki banyak sektor perniagaan dalam negara seperti pembinaan, perladangan, kewangan, pembuatan, teknologi, perkhidmatan dan lain-lain. Kejayaan PNB ini diiktiraf sehinggakan orang Cina dan India begitu yakin dengan PNB sehingga mereka pun turut serta melabur dalam tabung-tabung yang ditadbir oleh orang Melayu.
Manakala, dalam menerajui MBE, saya mencadangkan satu entiti berfungsi yang bermiripkan PNB sebagai pemantau atau terlibat secara langsung dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan 131 projek permulaan yang digariskan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi memastikan melayu tidak tertinggal dalam arus pembangunan ini menjelang 2020.
Kenapa tidak diperluaskan sahaja peranan entiti baharu dalam PNB?
Kita tidak boleh membebankan segala-galanya kepada PNB, kalau kita berbuat demikian takut PNB akan kehilangan fokus apa yang mereka ada sekarang dan mungkin tidak akan termampu untuk melaksanakannya. Konsep semasa PNB adalah lebih menjurus sebagai pelabur amanah dan lazimnya pengurus-pengurus amanah tidak terlibat dalam operasi harian syarikat. Justeru itu, cadangan saya satu institusi khas perlu diwujudkan yang mirip PNB tetapi mempunyai konsep yang menekankan ciri-ciri keusahawan dan melatih golongan professional agar dapat terlibat secara langsung dalam 12 NKEA dan 131 projek permulaan.
Tidak boleh digunakan mana-mana entiti yang sedia ada?
Sekiranya entiti tersebut telah wujud apa yang perlu adalah memperjelaskan semula peranan mereka. Contohnya, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), mereka tidak lagi boleh bertindak macam bank, sebaliknya menjadi rakan kongsi yang membimbing usahawan serta melahirkan pengurus-pengurus yang berpengetahuan mengenai perniagaan masing-masing. PUNB tidak boleh berfikir sebagai bank sebalik sebagai pelabur jangka panjang. Sekiranya ada 10 syarikat yang dilabur dan kemungkinan hanya empat yang berjaya menjadi syarikat besar. Setidaknya sudah ada empat syarikat Melayu yang berjaya. Inilah peranan affirmative yang diharapkan dimainkan oleh entiti ini.
Jadi pada pandangan Datuk, penubuhan entiti baru seperti PNB memang wajar ditubuhkan?
Sekiranya tiada agensi yang fokus untuk memain peranan untuk mengawal selia penglibatan orang Melayu dalam MEB maka saya rasa ia perlu diwujudkan.
Kerajaan perlu memberi fokus kepada enam bidang NKEA yang terpilih, yang mana usahawan Melayu berkemampuan dan berkebolehan untuk mengambil bahagian daripada 12 NKEA yang dikenalpasti iaitu pemborong dan peruncit, pendidikan, penjagaan, kesihatan, pertanian, perkhidmatan perniagaan dan pelancongan.
Bagi NKEA selebihnya yang melibatkan modal besar dan kepakaran teknologi yang tinggi, kita beri tugas ini kepada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) supaya mereka terlibat secara langsung dalam NKEA yang lain seperti minyak, gas dan tenaga, minyak sawit, perkhidmatan kewangan, infrastruktur komunikasi dan kandungan serta elektrik dan elektronik.
Apakah langkah-langkah yang perlu diambil entiti tersebut?
Kita juga perlu mewujudkan pangkalan data usahawan Melayu berjaya dalam setiap sektor ekonomi negara. Pada masa sama, kerajaan hendaklah menjadi match maker untuk memastikan syarikat-syarikat bukan bumiputra yang berjaya dapat bekerjasama dengan syarikat Melayu yang berkebolehan serta mempunyai trek rekod. Kerajaan juga perlu membantu dan menyediakan modal awal (Seed Capital) dan modal teroka secukupnya kepada usahawan Melayu yang dikenalpasti mempunyai ciri-ciri keusahawanan yang cekap dan rekod kejayaan tetapi tidak mempunyai modal untuk terlibat secara langsung dalam 131 projek permulaan ini. Selain itu, perlu dipastikan peruntukan kepada institusi kewangan di bawah naungan kerajaan mencukupi untuk membiayai syarikat Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Melayu. Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif serta pengurusan kanan bank-bank ini mestilah diberi Indeks Prestasi Kerja (KPI) untuk membangunkan usahawan melayu dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara dan 131 Projek Permulaan.
Apakah antara peranan entiti baharu?
Selain melabur, entiti ini juga diharap dapat menempatkan profesional Melayu dalam syarikat besar yang dilabur supaya mereka boleh mendapat pengalaman menjalankan operasi perniagaan. Penempatan bakat baharu tidak semestinya sebagai ketua tetapi mungkin pada kedudukan di barisan kedua atau ketiga bagi melatih dan belajar bagaimana bekerja dalam syarikat besar dalam tempoh tertentu. Apabila kakitangan ini mampu berdiri sendiri, mana-mana syarikat-syarikat bumiputra yang memerlukan kepakaran mereka hanya perlu mengambilnya menjadi rakan kongsi untuk mentadbir perniagaan mereka.
Siapakah yang patut mengawal entiti tersebut?
Ia perlu diletakkan di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera seperti PNB atau di bawah Majlis Tertinggi Agenda Bumiputra (MTUB).
Pada pandangan Datuk apakah yang akan berlaku sekiranya entiti khas itu tidak diwujudkan?
Kemungkinan tiada agensi yang dapat koordinasi perkembangan n penglibatan usahawan melayu dalam 12 NKEA dan 131 Projek permulaan.
Mungkinkah idea penubuhan entiti baru itu bakal dibantah oleh kaum-kaum lain?
Mereka tidak perlu menentang kerana ia tidak melibatkan mereka. Kita bukan meminta kuota sebaliknya mahu memastikan orang Melayu terus berdaya saing dalam MBE. Ia adalah mengenai usahawan Melayu.
Bolehkah orang Melayu berjaya?
Kenapa tidak. Kita lihat orang Yahudi mereka hanya ada tidak lebih dari 18 juta orang diseluruh dunia tetapi mereka memiliki kekuatan ekonomi besar sehingga mereka mampu memainkan peranan yang besar dalam mempengaruhi corak politik dan pentadbiran Amerika Syarikat.
Apa yang ingin saya tekankan, tidak mustahil orang Melayu Malaysia yang seramai 15 juta orang untuk mendominasi ekonomi tempatan. Perjuangan Melayu dalam ekonomi sebenarnya tidak boleh retorik tetapi praktikal. Saya berani menyatakan begitu kerana orang Melayu banyak yang berkebolehan dalam bidang keusahawanan.
Bagaimana kedudukan usahawan Melayu sekarang?
Ada yang berjaya dan mereka ini terus berkembang. Ada juga yang gagal bersaing dan tidak mempunyai cukup modal untuk berkembang. Jumlah usahawan Melayu yang berjaya jauh lebih kecil dari usahawan bukan bumiputra.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan