19 Oktober 2010

Persiapan perhimpunan berjalan lancar

UM - 19/10/10


Dua pengunjung melihat poster besar gambar Persidangan Perhimpunan Agung UMNO pertama pada 19 Mei 1946 yang tersergam di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur semalam menjelang perhimpunan Agung UMNO ke-64, yang dijadual bermula hari ini. - bernama

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Persiapan yang diatur menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang bermula esok dilihat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, hampir 99 peratus persiapan yang dibuat selesai seperti yang dijadualkan.

Pentas Dewan Merdeka yang sentiasa menjadi tumpuan setiap kali berlangsungnya perhimpunan terbesar UMNO itu umpamanya kini dilengkapi dengan kerusi yang lebih empuk untuk keselesaan para perwakilan sepanjang berlangsungnya perhimpunan tersebut.

Selain itu, pentas berkenaan juga diceriakan dengan beberapa potret pemimpin UMNO yang terdahulu termasuklah Perdana Menteri ketika ini, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Potret-potret berkenaan juga dilihat mewarnai pintu masuk PWTC bagi menambahkan keceriaan perhimpunan berkenaan.

Sementara itu, beberapa petugas yang ditemui melahirkan kegembiraan menjelang bermulanya perhimpunan agung itu.

Polis bantuan, Koperal Mohd. Rusdi Abdul Rahim, 25, berkata, beliau telah mengikuti latihan selama empat bulan semata-mata untuk bertugas pada pada majlis berkenaan.

''Saya dan rakan-rakan telah bersedia sepenuhnya kerana telah menerima latihan yang secukupnya sebelum ini di Pusat Latihan Polis (Pulapol).

''Justeru, kami berharap agar keadaan sentiasa terkawal sepanjang perhimpunan itu berlangsung,'' katanya.

Eksekutif Sous Chef, Mohamad Mazlan Abu Bakar, 49, pula memberitahu, perhimpunan kali ini merupakan perhimpunan yang ke-22 baginya sepanjang beliau bertugas di PWTC.

''Setiap tahun saya akan berhadapan dengan pelbagai kerenah perwakilan dan bagi perhimpunan kali ini, saya berharap agar ia akan berjalan dengan lancar,'' katanya lagi.

Dalam pada itu, petugas di Unit Perkhidmatan Istimewa (SSU), Mohd. Najib Yusof, 35, berkata, beliau sudah tidak sabar menunggu esok.

''Saya akan terus memberikan yang terbaik,'' katanya yang telah berkhidmat selama 16 tahun sepanjang perhimpunan agung berkenaan berlangsung.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: