UM - 14/10/10
KUALA LUMPUR 13 Okt. - Jawatankuasa pemilihan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima lima lagi bantahan daripada ahli parti itu yang tidak bersetuju dengan perjalanan mesyuarat cabang yang diadakan baru-baru ini.
Difahamkan, bantahan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima oleh jawatankuasa tersebut sehingga kini melibatkan 64 cabang.
Ia satu pertiga daripada 195 cabang PKR yang telah mengadakan pemilihan mereka sebelum ini.
Bantahan terbaru diterima daripada lima cabang iaitu Hulu Selangor, Kota Raja, Kuala Langat, Pandan dan Kelana Jaya.
Bantahan Cabang Kuala Selangor dikatakan membabitkan kertas undi apabila jawatan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dicetak sebagai Naib Ketua Cabang.
Bagi Cabang Pandan pula, ahli menuntut supaya pemilihan diadakan semula berhubung keputusan bagi jawatan ketua cabang tersebut kerana jumlah undi yang diterima adalah sama.
Pada pemilihan lalu, dua calon yang bertanding iaitu Zakaria Rahim dan Nik Md. Zin Mohamad masing-masing mendapat 105 undi.
Di Hulu Selangor, ketua cabang itu, Nazar Yatim tidak berpuas hati dengan arahan pusat supaya pemilihan diadakan semula ekoran undi diterima lebih banyak daripada ahli yang mengundi.
Manakala di Kota Raja, calon ketua cabang, K. S. Kottapan tidak berpuas hati kerana pengiraan undi cabang tersebut dilakukan di ibu pejabat PKR tanpa kehadirannya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan