1 Oktober 2010

Rancang jatuhkan MB Selangor

UM - 1/10/10

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar mendakwa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali pernah menawarkan habuan kepada Reformis untuk menjatuhkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Ramlan, antara tindakan Reformis yang ada kaitan dengan agenda tersebut ialah demonstrasi bogel di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pada 2009 serta aduan rasuah melibatkan Abdul Khalid kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, semua tindakan itu bertujuan menjatuhkan Abdul Khalid sekali gus memberi laluan kepada Azmin untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baru.

"Memang tidak dinafikan agenda perjuangan Reformis berasaskan rakyat, tetapi Azmin seorang yang amat bijak dalam konteks memanipulasi keadaan. Beliau gunakan kesempatan itu untuk mencalar imej Menteri Besar.

"Sebagai ahli politik, Azmin merupakan seorang yang bercita-cita besar dan antara matlamatnya adalah untuk menjadi Menteri Besar Selangor. Saya dan rakan-rakan dalam Reformis menjadi alat untuk mencapai matlamat itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan bekas seorang pemimpin kanan PKR hari ini berhubung tugas yang diberikan oleh Naib Presiden PKR itu untuk menjatuhkan Abdul Khalid.

Ng Lum Yong yang merupakan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR berkata, pengakuan tersebut terdapat dalam rakaman perbualan telefon antara Ramlan dengan seorang yang sehingga kini masih belum dikenali.

Menurut Lum Yong, melalui perbualan telefon tersebut kumpulan Reformis yang diketuai Ramlan telah ditawarkan habuan berbentuk tapak perniagaan pasar malam (uptown) daripada Azmin.

Sebelum ini, iaitu pada Februari tahun lalu, Ramlan pernah membuat kenyataan bahawa beliau tidak rela dipergunakan buat kali kedua oleh pemimpin PKR itu untuk mencapai agenda politik peribadi kerana mereka tidak pernah menghargai peranan yang dimainkan Reformis selama ini.

Ramlan berkata, atas nama prinsip perjuangan beliau tidak mahu menerima habuan yang ditawarkan oleh Azmin.

"Saya lebih rela hidup miskin daripada kaya hasil makan habuan orang politik seperti Azmin. Saya tidak mahu hidup senang atas penderitaan orang lain," katanya.

Ramlan sedar Azmin akan menafikan kenyataannya bahawa Reformis menjadi alat untuk menjatuhkan Abdul Khalid.

"Saya tidak hairan Azmin akan menafikan kenyataan saya ini, tetapi beliau harus ingat saya ada bukti dan paling penting Allah mengetahui setiap yang berlaku. Mereka boleh tipu 27 juta rakyat Malaysia tetapi mereka lupa Allah tahu segala-galanya," katanya.

"Saya juga berani berhadapan dengan Azmin sekiranya itu yang beliau mahukan. Saya sedikitpun tidak berasa gentar. Dengan polis pun saya boleh hadapi setiap kali berdemonstrasi, inikan pula Azmin. Insya-Allah saya tidak akan gentar," katanya.

Beliau turut mendedahkan mengenai Azmin yang merupakan individu paling banyak mengetahui rahsia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Azmin sebenarnya bukan anak emas tetapi Anwar yang sangat takut kepadanya kerana Azmin banyak mengetahui rahsia Anwar. Bagi menutup mulut Azmin, Anwar ikut sahaja apa yang Azmin mahukan," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: