29 Oktober 2010

Slogan SAPP negatif

UM - 28/10/10

SANDAKAN 28 Okt. - Slogan 'Sabah untuk Sabah' yang dilaungkan Parti Maju Sabah (SAPP) tidak akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini, sebaliknya membawa kesan negatif.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, justeru seluruh rakyat Sabah diminta tidak terpengaruh dengan permainan politik parti itu.

"Kalau Sabah untuk Sabah susah kita kerana kalau kita luar daripada Barisan Nasional (BN) kita tidak dapat apa-apa (peruntukan yang besar).

"Slogan Teck Lee Sabah untuk Sabah, bolehkan dia bangunkan sekolah sendiri, bangunkan hospital sendiri, ini kerja kerajaan Pusat," katanya ketika berucap pada majlis perasmian program 'Mengkoperasikan Rakyat Wilayah Sandakan' di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin dan menteri-menteri Kabinet Sabah.

Menurut Musa, hubungan parti komponen BN yang baik dengan kerajaan Pusat menyebabkan segala permintaan Sabah diberi perhatian yang besar.

Dalam pada itu, Musa berkata, tindakan Teck Lee menggunakan isu autonomi hanyalah kerana kepentingan politik semata-mata.

Katanya, tindakan Presiden SAPP itu yang membangkitkan isu pemilikan tanah juga amat menghairankan kerana semasa Teck Lee menjadi Ketua Menteri begitu banyak tanah rizab diberikan kepada pihak luar.

"Apabila dia jadi Ketua Menteri tidak pernah dia cakap autonomi tetapi bila tidak jadi Ketua Menteri macam-macam, yang dia mahu hanya jadi Ketua Menteri sahaja," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: