MM - 17/10/10
KUALA LUMPUR 16 Okt. - Jumlah pencalonan yang banyak diterima oleh Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak lebih daripada undi kasihan para penyokongnya.
Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohd. Zahid Md. Arip (gambar) berkata, tiada keikhlasan dalam diri setiap ahli cabang yang mencalonkan Azmin bagi merebut jawatan Timbalan Presiden kecuali mengharapkan imbuhan agar dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.
Menurutnya, pendedahan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan bahawa Azmin sebagai dalang kepada kekusutan pemilihan PKR adalah tidak mengejutkan dan ia benar-benar berlaku.
"Saya tidak terkejut dengan pencalonan yang diterimanya sebab mereka semua itu tidak ikhlas tapi mereka percaya Azmin mempunyai kuasa untuk memilih bakal calon pilihan raya.
"Sebelum ini ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penjara pun pernah berlaku, apabila Azmin tidak suka seseorang calon itu dia akan berjumpa Anwar untuk menukar dengan calon lain," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini, Gobalakrishnan mendedahkan manipulasi yang dilakukan oleh Azmin dalam pemilihan parti kali ini hingga menyebabkan keadaan dalam PKR menjadi huru-hara.
Dalam pada itu, ketika mengulas cabaran bekas Setiausaha PKR Kedah, Zamil Ibrahim agar Azmin mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk S. Nalakarupan, Mohd. Zahid berkata, Azmin akan dilihat sebagai seorang lelaki yang dayus jika terus membiarkan tuduhan tersebut dilemparkan ke atasnya tanpa sebarang usaha untuk menafikan.
"Saya cabar dia, jika benar-benar seorang lelaki, nafikan tuduhan Nalakarupan itu kerana ia melibatkan maruahnya," tegasnya.
Tambahnya, di dalam Islam sendiri seorang lelaki dayus tidak layak untuk masuk syurga apatah lagi untuk menjadi pemimpin kepada orang ramai.
"Agak menyedihkan kepada ahli parti yang mempunyai pemimpin yang dayus dan tidak berani untuk memimpin mereka," katanya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan