6 Oktober 2010

UMNO Gua Musang nafi dakwaan Pas

UM - 6/10/10

KOTA BHARU 5 Okt. - UMNO tidak pernah memberi layanan buruk kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah seperti yang sering didakwa oleh pemimpin parti pembangkang.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mat Yusof Abdul Ghani menyifatkan dakwaan tersebut hanya strategi pembangkang untuk mengelirukan rakyat kerana mereka bimbang dengan pengaruh Tengku Razaleigh bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Tegasnya, parti tersebut tidak pernah membuang Tengku Razaleigh walaupun dalam isu royalti minyak Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu dilihat seolah-olah menyokong pakatan pembangkang.

"Dalam isu royalti, kita dapati Tengku Razaleigh seolah-olah menyokong Pas dan tidak sokong wang ihsan tetapi kita tidak pernah ambil tindakan, Majlis Tertinggi (MT) UMNO juga tidak pernah ambil tindakan terhadap Tengku Razaleigh kerana kita tahu sikap beliau hanya untuk membantu rakyat Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pengagihan Wang Ihsan kepada 376 pelajar di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi 2 di sini hari ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dalam sebuah portal berita menuduh UMNO menjadikan Tengku Razaleigh tidak ubah seperti kukur kelapa yang digunakan apabila perlu dan terperosok di ceruk dapur apabila tidak perlu.

Minggu lalu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Tengku Razaleigh sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Galas yang terletak dalam Parlimen Gua Musang.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Chek Hashim Sulaima, 46, dari Pas akibat barah paru-paru di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada 27 September lalu.

Sementara itu, Mat Yusof berkata, tidak timbul isu Tengku Razaleigh menolak pelantikan sebagai pengarah pilihan raya tersebut kerana beliau telah memberikan arahan sementara menanti kepulangannya pulang.

"Beliau telah menghubungi saya dan meminta saya mewakili beliau dalam beberapa mesyuarat penting di pusat dan negeri. Beliau juga mengarah saya mengadakan mesyuarat dan menjalankan kerja untuk membantunya semasa beliau berada di luar negara.

"Pada dasarnya dia terima pelantikan itu, saya rasa pelantikan sebagai pengarah amat bersesuaian kerana Gua Musang tempat beliau dan Gua Musang amat sinonim dengan Tengku Razaleigh,'' katanya.

Tambahnya, keputusan melantik Tengku Razaleigh agak luar biasa tetapi amat sesuai dengan masa dan senario politik negara hari ini.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: