5 Oktober 2010

Usaha tarik profesional pulang diterus

BH - 2010/10/05

Daripada Mahfar Ali di Brussels, Belgium

Perbadanan Bakat ditubuh untuk gerakan lebih agresif

DATUK Seri Najib Razak semalam mengumumkan gerakan menarik diaspora Malaysia untuk pulang dan berkhidmat di tanah air akan dilakukan secara lebih agresif dan tersusun menerusi Perbadanan Bakat, mulai Januari depan.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan memastikan gaji yang ditawarkan setanding dengan bayaran pada peringkat global.

Sambil mengakui di Malaysia kemahiran dan bakat dinilai terlalu rendah, Perdana Menteri berkata, keadaan itu perlu dikaji bagi menarik profesional Malaysia di luar negara pulang ke tanah air.

“Ini tidak mungkin berlaku dalam masa yang terdekat, tapi kita kena bergerak ke arah itu,” katanya pada sidang media selepas majlis jamuan bersama rakyat Malaysia di Belgium dan Luxembourg, malam kelmarin.

Najib yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) ke-8 di sini bermula semalam, berkata ini pertama kali sebuah badan khusus diwujudkan bagi mencari profesional Malaysia di luar negara.

“Sebelum ini kita menunggu mereka, tapi kali ini kita akan cari dan hubungi mereka,” katanya sambil menyifatkan beberapa siri pertemuannya dengan rakyat Malaysia sempena lawatannya ke luar negara termasuk di Belgium, mula menampakkan petanda positif.

Beliau berkata, rakyat Malaysia di luar negara mula terangsang dengan apa yang sedang dilakukan kerajaan termasuk mengenai dasar berhubung Model Baru Ekonomi (MBE).

“MBE yang merupakan satu anjakan strategi ekonomi negara, nampaknya dapat menarik perhatian rakyat Malaysia di luar negara kerana mereka melihat ada peluang yang lebih terbuka untuk mereka memainkan peranan.

“Saya percaya kalau kita dapat laksanakan program-program kita dalam masa yang terdekat, tahap keyakinan mereka akan bertambah lagi sebab pada masa ini mereka suka kepada perancangan dan strategi baru kita.

“Kalau kita dapat menyusuli dengan pelaksanaan projek yang dikenal pasti dengan berkesan dan pantas, maka ini boleh mewujudkan momentum untuk mereka menimbang kemungkinan kembali bagi menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan pada majlis yang turut dihadiri isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Najib menjelaskan gagasan 1Malaysia bukan slogan, tetapi konsep yang menjadi panduan dalam membentuk dasar negara.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan: