28 November 2010

Benarkah Wujud "Kumpulan Empat Orang", PKR Ditanya Perwakilan

Bernama - 28 November, 2010 13:35 PM

PETALING JAYA, 28 Nov (Bernama) -- Seorang perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan kebimbangan sekiranya benar wujud "Kumpulan Empat" dalam parti itu yang boleh melemahkan parti.

Perwakilan Pahang, Ahmad Nizam Abdul Hamid mengutarakan hal itu ketika membahaskan Usul Pemberdayaan Demokrasi pada Kongres Nasional Tahunan PKR ke-7 yang berakhir di sini Ahad.

Ahmad Nizam, yang juga Ketua Cabang PKR Temerloh, bimbang usaha "membersihkan parti" yang pernah disebut oleh pemimpin-pemimpin PKR sebelum ini akan memungkinkan wujudnya kumpulan seumpama itu.

"Kebimbangan saya dalam soal pembersihan ini juga, apakah sudah ada 'Kumpulan Empat' dalam parti kita ini sehingga sanggup mengeluarkan tindakan-tindakan sebegitu rupa. Jika ada 'Kumpulan Empat' ini, tunggu dan lihat, parti ini akan longgar sendi-sendinya," katanya.

Perwakilan Wilayah Persekutuan, Azman Abidin pula mencadangkan pucuk pimpinan menaikkan bayaran deposit untuk bertanding jawatan ketua cabang daripada RM20 kepada sekurang-kurang RM1,000.

Beliau turut mencadangkan supaya syarat untuk calon bertanding ketua cabang diperketatkan pada masa akan datang untuk mengurangkan jumlah mereka yang bertanding sehingga menyukarkan anggota untuk memilih.

Perwakilan Melaka, Mahani Maspan pula menggesa pucuk pimpinan mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang melakukan kekecohan dengan mengadakan demonstrasi.

"Saya mintalah presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) tidak mengambil mereka ini (mereka yang protes) menduduki jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP)."

Beliau juga menggesa pimpinan PKR tidak memandang remeh pada mereka yang secara terang-terangan mengkhianati parti.

"Mereka yang terang-terang masuk muka di surat khabar dengan orang yang nak tubuhkan parti baru, jelas terang-terangan dia menyokong. Ini perlu dipandang serius," katanya.

Beliau bagaimana pun tidak mendedahkan maksud "orang yang nak tubuh parti baru".

Perwakilan dari Angkatan Muda Keadilan (AMK), Erveana Ansari Abdullah pula mendesak pucuk pimpinan memecat mereka yang mengeluarkan kenyataan memburukkan pimpinan parti dan yang secara jelas melanggar perlembagaan parti.

/hwa: bernama.com.my/

Tiada ulasan: