UM - 11/11/10
KUALA LUMPUR 10 Nov. - Tuduhan mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan 'anak emasnya', Azmin Ali sebagai punca kepada badai yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah benar dan 100 peratus tepat.
Bekas rakan karib Anwar, Datuk S. Nallakarupan bukan saja tidak hairan dengan perkara itu malah sudah lebih awal menjangkakannya kerana telah bercakap mengenai pakatan 'Anwar-Azmin' sejak tiga tahun lalu sewaktu meninggalkan PKR.
Jangkaan tepat itu katanya, dapat dibuat kerana beliau sendiri pernah diminta Anwar untuk menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Presiden PKR meskipun banyak mendapat pencalonan dalam pemilihan parti itu bagi memberi laluan kepada Azmin.
"Anwar dan Azmin memang ada pakatan dan mereka berkongsi segala-galanya. Cuba anda katakan pada saya, apa yang mereka tidak kongsi bersama?
"Sebelum pemilihan pun saya ada buat kenyataan menjangkakan manipulasi Anwar dan Azmin dalam pemilihan kali ini. Kini jelas segalanya benar dengan pendedahan Zaid semalam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nallakarupan menambah, pendedahan Zaid itu mungkin disebabkan bekas penyelaras pakatan pembangkang itu telah mengetahui sedikit sebanyak mengenai rahsia di antara kedua-duanya.
"Tetapi sebagai bekas rakan karib Anwar, saya tahu jauh lebih banyak daripadanya. Kalau rahsia itu terbongkar, saya pasti sesiapa saja yang berprinsip akan meninggalkan Anwar dan Azmin," ujarnya.
Mengulas tuduhan Zaid bahawa Anwar dan Azmin perlu menyelesaikan 'masalah peribadi' yang banyak dihadapi kedua-duanya, beliau berkata, rakyat perlu diberitahu apa 'masalah peribadi' yang dimaksudkan Zaid.
"Apa isu peribadi dimaksudkan Zaid? Rakyat terutamanya ahli parti pembangkang perlu tahu siapa pemimpin nombor satu yang mereka sanjung itu sebenarnya.
"Setiap bekas pemimpin PKR yang membuat pendedahan mengenai parti itu, semuanya mengatakan Anwar dan Azmin 'jahat'. Justeru saya nasihatkan Anwar, usahlah bermimpi mahu ke Putrajaya kerana saya yakin pendedahan ini akan berterusan," katanya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan