28 November 2010

Kongres PKR terus ‘dihiasi’ demonstrasi

MM - 28/11/10

PETALING JAYA 27 Nov. – Hari kedua Kongres Tahunan Ketujuh Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini terus dicemari dengan siri demonstrasi dan kekecohan oleh hampir 100 individu yang tidak berpuas hati dengan pemilihan parti yang berakhir baru-baru ini.

Demonstrasi itu berlangsung semasa sebahagian perwakilan memasuki Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini ketika Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail membentangkan laporannya kira-kira pukul 9 pagi.

Pada mulanya demonstrasi itu diadakan secara aman dengan kumpulan yang diketuai oleh bekas Bendahari PKR Selangor, S. Kottapan membawa beberapa sepanduk yang mengkritik Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta proses pemilihan yang baru berlalu kerana didakwa berlaku banyak penipuan.

Keadaan bertukar kecoh apabila sekumpulan anggota keselamatan PKR yang memakai baju T berwarna kelabu dengan tulisan ‘SKUAD’ di belakang mereka cuba menghentikan demonstrasi aman itu.

Memburukkan keadaan, pasukan itu turut mengugut para pemberita yang mereka tidak akan dibenarkan masuk ke dalam dewan bagi mengikuti kongres PKR jika meneruskan liputan ke atas kumpulan Kottapan.

Pertengkaran kecil turut berlaku di antara anggota pasukan itu dengan seorang petugas Agenda Daily, Helme Hanafi, 31, sehingga mereka cuba merampas kad perakuan media miliknya, namun berjaya ditepis.

Kottapan yang ditemui selepas demonstrasi itu berkata, beliau terkilan dengan kejadian tersebut kerana undang-undang PKR sebenarnya membenarkan ahli-ahli parti melangsungkan demonstrasi aman demi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

Namun dakwanya, pasukan yang didalangi oleh kumpulan pengikut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. A. Xavier Jayakumar bertindak melampaui batas dengan menghalau mereka.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: