16 November 2010

Pas nafi tanggapan terlalu taksub

UM - 16/11/10

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Pas menafikan sekeras-kerasnya tanggapan sesetengah pihak bahawa pucuk pimpinan parti itu terlalu taksub kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun pelbagai tembelang beliau sudah pecah.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu tidak pernah mengajar ahlinya untuk taksub kepada sesiapa pun.

"Pimpinan Pas tidak pernah taksub dan tidak pernah ajar pengikutnya taksub pada sesiapa. Pas ada cara untuk menangani sesuatu isu, kita tidak perlu pakai resipi orang lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mustafa diminta mengulas kenyataan Datuk S. Nallakaruppan yang menyatakan perasaan malunya apabila melihat pucuk pimpinan Pas masih taksub kepada Anwar.

Beliau yang merupakan bekas rakan karib Anwar bersedia untuk bertemu pemimpin Pas jika mereka berminat untuk mengetahui 'wajah' sebenar pemimpin itu.

Selain itu, Nallakaruppan juga menyatakan kesediaannya bertemu pemimpin DAP untuk tujuan sama demi menegakkan kebenaran.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw ketika diminta reaksinya mengenai kesediaan Nallakaruppan itu sekadar mengucapkan terima kasih.

Jelas beliau, pemilihan Anwar sebagai pemimpin pakatan pembangkang dibuat berdasarkan pelbagai faktor pro dan kontra yang diambil kira oleh semua pihak dalam pakatan itu.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: