UM - 10/11/10
KUALA LUMPUR 9 Nov. - Kira-kira 20 ahli dan penyokong pertubuhan haram Hindraf mengadakan upacara menyalakan lilin di hadapan rumah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menuntut pakatan pembangkang menunaikan janji terhadap kaum India ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008.
Kesemua mereka berhimpun di hadapan kediaman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu di Bukit Segambut di sini kira-kira pukul 8.45 malam sambil membawa poster tertera 'YB Anwar, Guan Eng, Hadi Awang beri geran tanah untuk semua kuil-kuil, kubur, sekolah tamil dan setinggan India di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah'.
Jurucakap kumpulan itu, W. Sambulingam berkata, perhimpunan tersebut dilakukan bagi mengingatkan pemimpin pakatan pembangkang supaya menunaikan janji yang ditabur kepada kaum India pada kempen pilihan raya itu.
Jelasnya, pakatan pembangkang harus sedar bahawa penyokong Hindraf banyak membantu pakatan itu menang semasa pilihan raya berkenaan.
"Sejak pakatan pembangkang menang pilihan raya, nasib kaum India masih tidak dibela," katanya ketika ditemui di hadapan kediaman Anwar.
Tambah Sambulingam, tragedi seorang India bertindak membakar diri di Puchong, Selangor, semalam berikutan isu merobohkan setor sebuah kuil di Subang Jaya menunjukkan perkembangan yang tidak baik dan diharap tidak berulang.
Kesemua ahli kumpulan itu bersurai secara aman sebaik diarahkan oleh pihak polis yang berkawal.
Sebelum bersurai, wakil kumpulan itu menyerahkan satu memorandum dan poster kepada wakil Anwar di hadapan kediaman Penasihat PKR itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi memberitahu tiada sebarang tangkapan dilakukan.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan