2 November 2010

Tiga rakyat Malaysia terima Anugerah Endeavour

UM - 01/11/10

PUTRAJAYA 1 Nov. - Tiga rakyat Malaysia akan menerima Anugerah Endeavour Australia Asia yang membolehkan mereka menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan menjalankan penyelidikan di negara tersebut.

Mengumumkan demikian hari ini, Perdana Menteri Australia, Julia Gillard berkata, pemberian anugerah berprestij itu merupakan sokongan daripada kerajaannya untuk membantu pelajar Malaysia di Australia.

"Dalam soal pendidikan, kita ada hubungan dan kerjasama yang amat baik dengan 23,000 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pelajaran di Australia.

"Pelbagai kerjasama dilakukan dan kita mahu mengukuhkan hubungan sedia ada dengan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Perdana Putra di sini.

Gillard yang tiba malam tadi adalah dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke negara ini. Beliau berlepas pulang petang ini.

Anugerah Endeavour merupakan biasiswa yang diberikan oleh kerajaan Australia kepada pelajar antarabangsa untuk tujuan pelajaran dan penyelidikan dalam pelbagai bidang di Australia.

Pada Januari lalu, Dr. Jegajeeva Rao dari Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) telah dipilih sebagai rakyat Malaysia pertama menerima biasiswa bernilai RM630,500 melalui Anugerah Endeavour.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Malaysia mahu bekerjasama dengan Australia untuk memajukan pendidikan dan latihan vokasional di negara ini.

"Pendidikan vokasional di Malaysia masih ketinggalan dan kita mahu bekerjasama dengan pihak Australia dalam bidang ini.

"Kita mempunyai kerjasama yang baik melalui universiti kedua-dua negara dan kita mahu menandatangani MoU dalam bidang pendidikan dan pengajian tinggi," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: