1 Disember 2010

Penasihat PKR cuba raih sokongan Cina

UM - 1/12/10

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Para penganalisis politik percaya pengumuman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melantik Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas memenangi pilihan raya umum nanti adalah satu retorik.

Pensyarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman meminta Anwar supaya membuktikan kebolehannya sebelum menaburkan janji-janji kosong.

"Anwar sepatutnya lebih baik berusaha untuk mendapatkan sokongan masyarakat dan menawan Putrajaya seperti yang dijanjikan sebelum ini.

"Jika beliau gagal melakukannya atau tidak memenangi pilihan raya umum akan datang, beliau hanya berdepan dengan situasi yang kurang senang dan malu dengan apa yang dijanjikan sebelum ini,'' jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Pada Jumaat lalu, Anwar dalam wawancara dengan akhbar Sin Chew Daily berjanji untuk memberi jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Kit Siang jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Kit Siang berperanan membantu tugas-tugas Perdana Menteri yang sudah semestinya akan dipegang oleh Anwar.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, Anwar sedang berusaha untuk mendapatkan sokongan masyarakat Cina bagi menghadapai pilihan raya umum yang dijangka pada tahun depan.

"Lagipun, berdasarkan pemilihan PKR baru-baru ini, kita boleh lihat bahawa sokongan bukan Melayu terhadap PKR sudah mula terhakis.

"Barangkali untuk meraih semula sokongan bukan Melayu, beliau cuba menjanjikan jawatan tersebut kepada Kit Siang yang merupakan antara individu yang berpengaruh di kalangan masyarakat Cina di negara ini,'' katanya.

Dalam pada itu, Sivamurugan turut menyoalkan peranan Pas yang mana dianggap stabil dan telah lama berakar umbi di negara ini.

"Adakah Pas akan bersetuju menerima Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri? Jika tidak Pas juga patut diberikan satu jawatan yang digelar sebagai Timbalan Perdana Menteri II untuk menunjukkan bahawa Pas stabil di kalangan barisan pembangkang,'' jelasnya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain pula berkata, tindakan retorik yang dilakukan oleh Anwar adalah satu manifesto politik dalam bentuk sama ada janji atau slogan.

"Tetapi pada akhirnya, itu terpulang kepada beliau sama ada mahu menunaikan janji itu atau tidak.

"Perkara itu adalah sama seperti janji-janji manis yang diluahkan oleh seseorang kepada kekasihnya. Selepas perkahwinan ia terpulang kepada individu itu sama ada mahu menunaikan kesemua janji manis itu atau pun tidak,'' ujarnya.

Tetapi, apa yang jelas katanya, Anwar sebenarnya mahu mendapatkan sokongan masyarakat terutama kaum Cina sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: