29 Disember 2010

Perubahan kepimpinan bukti komitmen UMNO

UM - 29/12/10

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Perubahan kepimpinan UMNO di tiga negeri berkuat kuasa 1 Januari 2011 membuktikan komitmen serta kesungguhan pucuk pimpinan bagi mengukuhkan perjuangan parti serta memenuhi aspirasi rakyat.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, ia merupakan satu kesinambungan terhadap usaha transformasi UMNO yang dimulakan sejak pilihan raya umum yang lalu.

"Ini juga adalah satu perubahan yang menjadi pelengkap kepada transformasi yang dilakukan pucuk pimpinan UMNO.

"Perubahan ini juga dilakukan setelah parti mengenal pasti beberapa masalah yang memerlukan penambahbaikan demi memantapkan UMNO supaya menjadi parti pilihan utama rakyat," katanya.

Beliau dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas pengumuman Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam berhubung perubahan di tiga UMNO negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu.

Melalui perubahan itu, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah dipilih sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah menggantikan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sementara Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dilantik sebagai timbalannya.

Di Pulau Pinang, jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang sebelum ini dipegang Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diberi kepada timbalannya sebelum ini, Datuk Zainal Abidin Osman dan di Terengganu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Rosnah berkata, Puteri UMNO mengalu-alukan perubahan itu memandangkan barisan pemimpin yang dipilih terdiri daripada anak jati dan pemimpin-pemimpin yang dihormati di peringkat negeri.

"Justeru usaha mengukuhkan jentera parti diyakini akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berjaya berikutan perubahan terbaru itu," katanya.

Jelasnya, Puteri UMNO sentiasa bersedia bekerjasama dengan pengerusi dan timbalan pengerusi baru UMNO negeri yang diumumkan itu.

"Kita akan terus bekerjasama bagi menjayakan setiap program dan tindakan yang telah dirancang demi memartabatkan UMNO," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: