24 Januari 2011

MB minta SPR turunkan bendera parti tak bertanding

UM - 24/1/11

LABIS 23 Jan. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bertindak tegas terhadap mana-mana parti yang melanggar peraturan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang termasuk menurunkan bendera parti yang tidak bertanding.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, langkah itu wajar kerana perbuatan tersebut jelas melanggar peraturan yang ditetapkan semasa berkempen.

"Kita minta SPR ambil tindakan kalau lihat parti yang tidak bertanding tetapi memasang bendera masing-masing.

"Bendera parti yang tidak bertanding harus dicabut kerana hanya bendera Barisan Nasional (BN) dan Pas sepatutnya berbuat demikian," katanya.

Beliau ditemui pada Pertandingan Nasyid dan Penyampaian Bantuan Khas Kepada Sekolah-sekolah Agama di DUN Tenang di Sekolah Agama Pekan Ayer Panas di sini hari ini.

Pilihan Raya Kecil DUN Tenang akan berlangsung 30 Januari ini berikutan wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha, 59 meninggal dunia pada 17 Disember lalu.

Abdul Ghani yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi DUN Tenang, turut mengingatkan jentera BN agar tidak melatah dengan sebarang bentuk provokasi pihak lawan.

Pengerusi BN negeri itu menasihatkan mereka bersabar dan mematuhi segala bentuk peraturan sepanjang tempoh berkempen.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengingatkan penduduk Tenang supaya menolak sebarang bentuk ceramah politik yang boleh memecah-belahkan masyarakat khasnya orang Melayu.

Jelasnya, penduduk perlu berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan sebarang bentuk hukum atau 'fatwa' yang dikeluarkan.

"Ada orang dari negeri lain datang ceramah, kata haram (kalau undi calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Tenang).

"(Jangan) nak buat hukum sendiri, kalau tak sokong mereka (calon Pas) akan kata kita berbeza dengan mereka," katanya.

Minggu lalu, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam satu ceramah di sini, membuat 'fatwa' haram undi calon UMNO dan BN pada PRK DUN Tenang.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: