24 Januari 2011

Pas terbukti memfitnah PM

UM - 24/1/11


HAMZAH Abdul Manaf menunjukkan berita di dalam Buletin Tenang yang mempolitikkan pengurusan jenazah Setiausaha UMNO Cawangan Kolam Air, Felda Tenang pada kempen pilihan raya kecil DUN Tenang di Labis, Johor, semalam.

LABIS 23 Jan. – Taktik kotor Pas mula terbongkar satu per satu termasuk yang terbaru mengenai penipuan dan putar belit parti itu yang mendakwa kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak ‘lupa menziarahi’ jenazah seorang pimpinan UMNO cawangan yang meninggal dunia pada hari Perdana Menteri melakukan lawatan kerja sehari ke Felda Tenang, 18 Januari lalu.

Ia suatu fitnah nyata yang dilakukan oleh Pas melalui edisi kedua akhbar Buletin Tenang, lidah rasmi parti itu yang diedarkan kepada orang ramai sepanjang tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di sini.

Sebaliknya, apa yang berlaku, seperti ditegaskan Pengerusi Biro Khairat Kematian Masjid An-Nur, Hamzah Manaf, 77, dan beberapa pemimpin setempat, tindakan Najib tidak melawat jenazah Setiausaha UMNO Cawangan Kolam Air Felda Tenang, Allahyarham Abdul Latif Subhi Mohd. Din, 61, bukannya suatu isu kerana Perdana Menteri memang langsung tidak mengetahui mengenai kematian Allahyarham kerana tidak dimaklumkan mengenainya.

Satu lagi penipuan Pas menerusi buletin itu ialah apabila mendakwa jentera parti itu yang menguruskan jenazah Allahyarham, sedangkan hakikatnya ia diuruskan sendiri oleh para penduduk kampung.

Sebaliknya, beberapa wakil dan jentera Pas hanya muncul secara tiba-tiba di masjid berkenaan termasuk calon parti itu, Normala Sudirman untuk memberi penghormatan kepada jenazah Allahyarham.

Kemudian, di dewan solat Masjid An-Nur Felda Tenang itu, salah seorang daripadanya yang memakai jaket Pas secara tidak semena-mena bangun dan mengimamkan solat jenazah ketika pengurusan masjid meminta waris Allahyarham menjadi imam kerana lebih afdal diimamkan oleh keluarga terdekat, atau menunggu kira-kira 15 minit untuk imam tiba.

Hamzah yang ditemui Utusan Malaysia hari ini menegaskan, hati seluruh penduduk di Felda Tenang sangat terluka dengan tindakan Pas menerusi buletin itu bertajuk ‘PM lupa ziarah jenazah Setiausaha Umno cawangan Tenang.

Menurutnya, Pas secara terbuka berbohong apabila mendakwa Najib tidak melawat jenazah ketika melintasi masjid itu pada pukul 10 pagi kerana isu itu langsung tidak berbangkit sebaliknya suatu penipuan besar.

Jelasnya, ia bukan isu kerana Perdana Menteri tidak mengetahui mengenai kematian Allahyarham, malah jenazah tiba dari Hospital Segamat untuk disembahyangkan di masjid berkenaan pada pukul 12 tengah hari.

“Ini suatu pembohongan, bohong, bohong, bohong,” katanya ketika wartawan menunjukkan naskhah Buletin Tenang terbitan Badan Perhubungan Pas Johor itu kepada beliau hari ini.

Abdul Latif Subhi meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 pagi di Hospital Segamat setelah mengadu sakit dada.

Selain itu, tambah Hamzah, para penduduk Felda Tenang berasa sangat kecewa lebih-lebih lagi apabila Pas mendakwa imam masjid Masjid An-Nur Felda Tenang, Mohd. Shariff Hassan, tidak mempeduli dan menguruskan jenazah berkenaan kerana sibuk meraikan kedatangan Perdana Menteri.

Beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Ayahanda’ oleh penduduk Felda sangat terkilan dan kesal dengan tindakan parti pembangkang itu yang sengaja menabur fitnah semata-mata hendak memburukkan Perdana Menteri dan penduduk kampung semasa Pilihan Raya Kecil DUN Tenang tanpa mempedulikan hukum hakam agama Islam yang menegah keras umatnya melakukan fitnah sesama Islam.

Sambil berharap supaya pengundi di DUN Tenang yang mendengar atau membaca mengenai fitnah tersebut supaya jangan mempercayainya, Hamzah berkata:

“Siapa kata orang Pas yang kendalikan semua urusan jenazah dari masjid hingga ke tanah perkuburan? Semua urusan itu kami yang lakukan kecuali imamkan solat jenazah dan itu pun, dia (orang Pas) tidak diminta berbuat demikian.

“Seperti kebiasaan, kita minta jika ada waris terdekat untuk mengimamkan jenazah, tapi disebabkan anak Allahyarham tidak bersedia menjadi imam solat jenazah, kita tanya sama ada mahu tunggu imam (Mohd. Shariff). Tiba-tiba seorang lelaki yang memakai jaket Pas terus ke hadapan dan mengimamkan solat tersebut.

“Saya nak ucap ‘tahniah’ kepada Pas kerana memfitnah dan memburukkan orang kampung dia sendiri,” katanya dengan nada sinis menyindir pemimpin Pas yang sengaja menabur fitnah untuk meraih sokongan.

Hamzah berkata, pihaknya sebenarnya memang tidak menghalang tindakan lelaki itu yang bukan pun penduduk Felda berkenaan mengimamkan solat jenazah tersebut tetapi tindakan memutarbelitkan fakta kejadian itu untuk dijadikan modal politik sangat dikesali.

Menurutnya, jika lelaki itu tidak mengimamkan solat jenazah itu pun, ia tetap dilangsungkan awal kerana Mohd. Shariff tiba beberapa minit kemudian iaitu ketika sembahyang baru bermula.

“Sebelum itu, saya telefon imam supaya datang segera untuk mengimamkan jenazah. Saya juga sudah beritahu supaya menunggu kira-kira 15 minit untuk menanti ketibaan imam.

“Sebenarnya semua urusan mengenai jenazah, kita yang lakukan. Ahli Pas ini cuma mengimamkan solat jenazah semasa jenazah tersebut disembahyangkan. Kalau betul Pas uruskan semuanya, kenapa tidak ada seorang pun orang Pas yang membantu urusan sehingga ke tanah perkuburan?” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: