31 Januari 2011

Pemimpin India PKR ikut buta tuli

UM - 31/1/11

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Pemimpin India yang masih setia dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya bersikap berpura-pura kerana mereka tidak ada tempat dalam parti itu.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas berkata, hanya mereka yang tidak faham sahaja membuat sangkaan baik bahawa parti itu untuk semua kaum.

''Mereka salah anggap bahawa PKR boleh mewakili semua kaum kerana mereka ikut sahaja secara membuta tuli. Dari awal kita boleh nampak melalui ucapan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berbeza mengikut kaum.

''Ia jelas bukan agenda untuk menyatupadukan rakyat,'' katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan, keluar daripada PKR adalah bukti masyarakat India tidak dihargai oleh Anwar.

Gobalakrishnan mengisytiharkan dirinya keluar PKR dan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Padang Serai kerana bosan dengan sikap Anwar serta Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Kayveas menambah, PKR hanya mengejar matlamat yang kabur tanpa prinsip yang jelas biarpun sanggup memecah belahkan kaum.

''Saya sendiri hairan bagaimana Anwar ketika bersama kerajaan sentiasa tidak sependapat dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh tetapi kini bersahabat baik.

''Perkara ini jelas kerana Anwar akan buat apa sahaja untuk merampas kuasa sekali gus mencapai matlamatnya ke Putrajaya,'' katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, PKR tidak mengamalkan sikap toleransi antara pemimpin pelbagai kaum dalam parti itu sebagaimana yang dipraktikkan Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, parti tersebut masih tidak matang dalam perkara itu bagi mewujudkan suasana harmoni antara kaum.

Dalam konteks itu, katanya, ia dilihat menjadi punca lebih ramai pemimpin India daripada parti berkenaan bertindak keluar parti.

''PKR sememangnya tidak mengutamakan nasib kaum India dan selalu mengetepikan masalah kaum itu.

''Ia berbeza dengan BN apabila setiap isu yang timbul akan ditangani secara bersama tidak mengira kaum atas prinsip bersatu dan bekerjasama,'' katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: