11 Februari 2011

30 ahli Pas cawangan Bunut Rendang sertai UMNO

UM - 11/2/11

PASIR PUTEH 10 Feb. - Seramai 30 ahli Pas melibatkan bekas pemimpin cawangan Bunut Rendang yang dikenali sebagai kubu kuat parti itu mengisytiharkan keluar parti secara beramai-ramai dan berikrar menyertai UMNO pada satu majlis khas di Kampung Gong Datuk dekat sini petang semalam.

Mereka termasuk bekas Timbalan Ketua Pas Cawangan Bunut Rendang, Raja Abdullah Raja Mahmod, 57, dan bekas Ketua Muslimat di kawasan Dewan Undangan Negeri (Semerak), Noriah Salleh, 30.

Masing-masing membawa penyokong mereka untuk menyatakan kesediaan membantu UMNO.

"Kami tidak mahu lagi menjadi pengikut kepada sebuah parti yang hilang arah tuju termasuk arahan pucuk kepimpinannya yang kadang-kadang menghalal dan mengharamkan sesuatu.

"Sekali boleh dan sesekali tak boleh, ini mengelirukan rakyat terutama perkara yang membabitkan Islam," kata Raja Abdullah kepada pemberita selepas menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman di kampung berkenaan semalam.

Beliau berkata, selain itu pemimpin Pas juga sentiasa membuat sangkaan buruk terhadap UMNO termasuk isu kafir-mengkafir dan memandang rendah terhadap sesama Islam kerana tidak menyokong perjuangan mereka sedangkan agama Islam melarang keras perbuatan itu.

Menurutnya, kesan 'fatwa' yang tidak berasas yang dikeluarkan oleh kepimpinan Pas turut menjadi punca perpecahan sesama Islam dan mereka sepatutnya dipersalahkan.

Sementara itu, Noriah berkata, beliau terpaksa keluar dari parti itu disebabkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seringkali mengeluarkan kenyataan menyamakan sifat manusia dengan Allah pada majlis-majlis ceramah yang diadakan oleh parti itu sebelum ini.

"Sedangkan jika seseorang itu yang menyamakan sifat Allah dengan salah satu sifat anggota tubuh badan manusia ia sudah merosakkan akidah," katanya.

Sementara itu, Zawawi berkata, sejak Januari lepas sehingga sekarang lebih 500 anggota Pas terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Selising, Gaal dan Semerak sudah menyertai UMNO.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: