13 Februari 2011

ADUN Kerdau meninggal dunia sakit jantung

BH - 2011/02/13

TEMERLOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, meninggal dunia akibat penyakit jantung di rumahnya di Pekan Kerdau, di sini, kira-kira jam 6.30 petang, semalam.

Allahyarham berusia 64 tahun, dipercayai mengalami serangan jantung sebelum terjatuh dalam bilik air di rumahnya.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said, berkata, berikutan itu ahli keluarga Allahyarham memaklumkan kepadanya mengenai kejadian itu serta jiran di sekitar rumahnya.

“Saya terus mendapatkan khidmat ambulans Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh yang tiba jam 7.10 petang untuk mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

“Bagaimanapun, doktor mengesahkan Allahyarham sudah meninggal dunia semasa di rumah lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ismail berkata, doktor tidak akan melakukan bedah siasat ke atas Allahyarham bagi memenuhi permintaan ahli keluarganya.

Beliau difahamkan sebelum kejadian, Allahyarham dikatakan dibantu seorang pembantunya ke bilik air.

“Bagaimanapun, selepas beberapa ketika pembantu itu mendengar Allahyarham menjerit ‘Allahu Akbar’ dan bunyi seperti benda terjatuh lalu bergegas ke bilik air,” katanya.

Ismail berkata, beliau sudah memaklumkan berita itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Adnan Yaakob sejurus mendapat pengesahan daripada pihak hospital mengenai kematian Allahyarham.

Katanya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kerdau selepas solat Zuhur, hari ini.

Pada Mei tahun lalu, Allahyarham pernah dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU) HOSHAS selepas menjalani pembedahan ulser usus sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.

Zaharudin, menang kerusi DUN Kerdau dalam pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim dan kawasan berkenaan mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus lain-lain kaum.

Allahyarham meninggalkan lima orang anak hasil perkahwinan dengan bekas isterinya yang meninggal dunia empat tahun lalu.

Beliau kemudian berkahwin dengan Rozlifah Ahmad, 33 pada Ogos tahun lalu.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: