15 Februari 2011

Batik tempatan berseni, bermutu

UM - 15/2/11

KOTA BHARU 14 Feb. – Pengusaha batik di negeri ini kesal dengan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperlekehkan batik tempatan apatah lagi ia dilakukan di luar negara.

Pemilik MZ Batik di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Mohd. Azhar Mohd. Zain, 40, berkata, pemimpin pembangkang itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia turut melibatkan periuk nasi rakyat terutama pengusaha bumiputera.

Katanya, perusahaan batik menjadi sumber ekonomi usahawan Melayu di negeri ini yang memberi peluang pekerjaan kepada ramai orang.

“Batik yang kita hasilkan adalah hasil tangan unik pelukis batik yang bekerja dengan tekun di bawah tangga dan belakang rumah masing-masing demi mencari rezeki halal.

“Setiap lukisan batik yang dihasilkan mempunyai nilainya tersendiri dan tidak ada duanya dengan yang lain. Amat tidak patut apabila ada pemimpin memperlekeh batik tempatan yang sebenarnya cukup berseni dan bermutu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Anwar yang memperlekehkan batik tempatan pada Festival Salihara Ketiga di Jakarta tidak lama dulu seperti didedahkan dalam ruangan pojok Awang Selamat, Mingguan Malaysia semalam.

Anwar dalam rakaman sebuah video antara lain dilaporkan berkata: “Mahu pakai batik Indonesia dikatakan saya antinasional. Mahu pakai batik Malaysia, orang Indonesia bilang jelik. Sebab ciri keseniannya itu cukup rendah dan saya setuju. Tetapi saya tidak mahu sebut di Malaysia. Jadi akhirnya saya memilih batik Afrika.’’

Sementara itu, seorang peniaga, Wan Rozita Ariffin, 45, yang membuka kedai pakaian Zyzue Glamourist Collection di Bandar Baru Bangi, Selangor berkata, kain batik tempatan sebenarnya cukup bermutu kerana mengambil kira kualiti warna dan fabriknya.

Dia yang ditemui ketika mengambil stok batik di Bazar Buluh Kubu di sini berkata, pengusaha batik Kelantan dan Terengganu kekal menjaga mutu bagi memelihara keasliannya.

Katanya, berbeza dengan batik Indonesia yang kebanyakannya dibuat menggunakan kain kapas, batik buatan tempatan dicanting di atas kain sutera yang halus dan lembut dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Majoriti batik kita dihasilkan dengan sutera dan kalau ada yang menggunakan kain kapas pun adalah daripada jenis bermutu tinggi,” katanya.

Seorang lagi peniaga batik, Wan Aziz Wan Abdullah, 42, pula berkata, sambutan untuk batik tempatan tidak pernah surut sejak dia memulakan perniagaan itu 20 tahun lalu.

“Tidak ada pula yang meminta saya menjual batik Indonesia di kedai saya, semua pelanggan sama ada dari negeri ini atau luar Kelantan mencari batik buatan tempatan untuk dibawa pulang,” katanya.

Pembantu kedai, Erma Suriati Yaacob, 24, pula berkata, sebagai generasi muda, dia lebih menyukai batik tempatan kerana warnanya lebih menarik dan coraknya sentiasa mengikut peredaran zaman.

Di Kuala Terengganu - Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Institute of Design Excellence (TiDE), Prof. Sulaiman Abdul Ghani berkata, dakwaan tidak berasas itu pastinya menyinggung mereka yang berterusan berusaha mengangkat industri warisan ini ke tahap membanggakan di persada antarabangsa.

Baginya sesuatu yang malang dan menyedihkan apabila masih ada pemimpin yang berwatak “naif dan buta” dalam menilai dan menghargai seni budaya tempatan yang menjadi kebanggaan umum.

“Mereka sepatutnya menghormati seni budaya tempatan dan bukannya mengkhianatinya. Namun saya percaya tuduhan seumpama itu tersirat motif tertentu dan lebih bersifat peribadi,” ujarnya.

Sulaiman yang juga Presiden Komuniti Seni Tekstil Tradisional ASEAN (ASEANTTAC) seterusnya berkata, hakikatnya, batik tempatan termasuk yang dihasilkan di negeri ini berkualiti tinggi dan mendapat sambutan di pasaran antarabangsa.

Jelasnya, ia terbukti apabila batik Malaysia mendapat perhatian ramai sewaktu menyertai pameran batik dunia di negara rantau Eropah seperti di kota raya Milan, Itali dan Barcelona, Sepanyol.

Sulaiman selanjutnya berkata, tidak dinafikan dari segi sejarah, batik Malaysia banyak dipengaruhi batik Indonesia terutama dari segi corak, teknik serta warna terutama sekitar 1920-an dan berlarutan sehingga 30 tahun kemudian.

Namun katanya, bermula 1960-an, senario mulai berubah apabila batik tempatan menampilkan corak serta konsep dan identiti tersendiri yang lebih menumpukan nilai-nilai tropika merangkumi flora dan fauna.

Sedangkan batik Indonesia, jelasnya, kekal dengan elemen kedaerahan sama ada dari segi motif atau warnanya.

“Batik kita lebih kepada ekspresi corak atau warna berteraskan elemen tropika dengan aspek kehalusan seninya yang sangat subjektif.

“Berbeza dengan batik Indonesia, sebanyak 90 peratus adalah bergantung kepada elemen kedaerahan bagi memenuhi cita rasa pasaran di negara itu sendiri,” ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: