UM - 11/2/11
MASYARAKAT Islam seluruh dunia akan menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiulawal bersamaan 15 Februari 2011. Mengingati tarikh itu menjadi titik tolak bangkitnya satu kesedaran baru mengenai pola kehidupan bermasyarakat, di samping memperdalamkan semangat perjuangan baginda yang berupaya meruntuhkan budaya kesukuan dan fikiran jumud.
Peribadi Rasulullah SAW sebagai insan yang penuh teladan, sama dalam kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat dan bernegara adalah tunjang kekuatan Islam. Walaupun lebih 1,400 tahun telah berlalu, namun tindakan baginda menyelesaikan masalah, meruntuhkan sebarang konflik dengan lain-lain kelompok (atau kesukuan) amat berkesan. Seharusnya, dalam menghadapi gelora politik dan kehidupan bermasyarakat hari ini, setiap umat Islam sama ada rakyat biasa apatah lagi pemimpin atasan boleh mengambil contoh daripada keagungan peribadi Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dan teladan sebelum membuat keputusan ataupun mengatur cabaran baru.
Hal ini termasuklah penentuan dalam soal pengurusan dan penggunaan harta kerajaan atau wang rakyat. Dalam hal ini, Nabi SAW menegaskan dalam satu hadis baginda yang bermaksud: “Setiap pemimpin yang menyalahgunakan urusan rakyat akan mendapat kutukan Allah SWT di akhirat nanti.” (Riwayat at-Tirmidzi).
Dalam konteks kehidupan berpolitik, ekonomi, dan sosial, kita lihat ada masyarakat Islam kehilangan arah dan panduan. Mereka bercakaran sesama sendiri, institusi keluarga kucar-kacir, memutuskan silaturahim, hidup diselubungi rasuah, mengutamakan kepentingan diri, keluarga serta gilakan kuasa. Segelintir daripada mereka mengakui mencontohi perilaku kehidupan Rasulullah SAW dan melafazkan puji-pujian ke atas junjungan besar baginda, tetapi itu hanyalah sekadar ‘menanam tebu di tepi bibir’. Hakikatnya, ‘cakap tak serupa bikin’ menjadi etos politik harian.
Justeru, dalam isu dialog antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Majlis Fatwa Kebangsaan pada hakikatnya tidak sesuai diadakan kerana ia akan melibatkan pertembungan antara seorang ahli politik dengan sekumpulan fuqaha Islam yang akhirnya hanya akan mengelirukan rakyat. Pertembungan sedemikian seharusnya dielakkan bagi menjamin kebebasan Majlis Fatwa Kebangsaan berbanding dengan penyertaan Mursyidul Am Pas atas tiket politik. Apabila politik diadunkan dengan agama, maka kebenaran yang ingin diraih melalui dialog tersebut akan dilihat sebagai sesuatu yang ber bertakhta politik, di mana banyak kemungkinan lain akan menyusul.
Dalam hal berpolitik ini, kita seharusnya mencontohi bagaimana Rasulullah SAW menjalin hubungan politik yang harmonis dengan masyarakat luar, lebih-lebih lagi dengan masyarakat senegara dan setanah air. Baginda tidak pernah melemparkan tuduhan jahil, kafir dan sebagainya kepada lawan-lawan politik baginda, kecuali jika orang itu memang jahil dan kafir. Politik adalah politik, politik yang khalis (murni) adalah politik yang tidak melibatkan akidah dan kepercayaan.
Mengikuti atau menentang sesuatu parti politik tidak akan menyebabkan seseorang menjadi murtad, jahil atau keluar daripada Islam.
Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seorang lelaki: “Ya Rasulullah, apakah agama itu? Rasulullah bersabda, “Akhlak yang baik.” Kemudian lelaki itu mendekati Nabi SAW dari sebelah kanan dan bertanya, “Ya Rasulullah, apakah agama itu?” Jawab baginda, “Akhlak yang baik.” Kemudian lelaki itu mendekati Nabi dari sebelah kiri pula dan bertanya, “Apakah agama itu?” Baginda bersabda, “Akhlak yang baik.” Kemudian lelaki datang pula dari belakang Nabi SAW dan bertanya, “Apakah agama itu?” Rasulullah menoleh kepadanya dan bersabda, “Belum juga kamu mengerti? Agama itu akhlak yang baik. Sebagai misalan, jangan kamu marah.”
Sesungguhnya agama mengarahkan kita kepada nilai-nilai luhur, iaitu bagaimana hubungan kita dengan sesama manusia. Bukankah tujuan utama diutus-Nya Nabi untuk menyempurnakan akhlak?
Kata-katanya juga tidak menyakiti orang lain, kerana Allah SWT turut berpesan “Lunakkanlah atau lembutkan suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai.” (Lukman: 19), “…dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang baik…” (al-Israa: 53), “..dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia…” (al-Baqarah: 83), “…dan katakanlah kepada mereka perkataan yang baik...” (an-Nisaa: 8), dan “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut semoga ia mengingat atau takut.” (Taha: 43-44).
Islam amat menitikberatkan penggunaan bahasa yang baik. Bahasa merupakan satu-satunya ciptaan manusia yang telah mampu memberikan apa sahaja kesan kepada mereka yang menggunakannya. Sejak permulaan sejarah lagi, kita diberikan pengetahuan bahawa melalui perantaraan bahasalah manusia mampu membina kehidupan yang bermuafakat dan bermasyarakat. Melalui perantaraan bahasa juga boleh menyebabkan dua pihak bergaduh, berselisih pendapat dan seterusnya berperang.
Itulah bahasa politik yang mewajarkan tindakan kekerasan demi memperoleh dan mengekalkan kuasa. Peristiwa menggunakan bahasa sebagai alat melepaskan geram dan meluncurkan kemarahan ke atas seseorang telah banyak berlaku dalam sejarah termasuk oleh pemimpin Islam sendiri. Dalam budaya Melayu, ada nasihat yang baik dalam pemakaian bahasa bagi membolehkan dua pihak yang berselisih pendapat menerima hakikat dalam pembicaraan yang harmoni.
Tenas Effendi, seorang tokoh budaya dan adab Melayu memberikan panduan mengenai tiga jenis pemakaian bahasa dalam berkomunikasi melalui kelompok yang berlawanan, yang dikenali sebagai ‘bahasa yang tiga.’
Pertama, ‘bahasa mendaki’, iaitu bahasa yang digunakan oleh orang yang lebih muda atau rendah kedudukannya apabila berhadapan dengan mereka yang lebih tua atau berkedudukan. Misalnya, bahasa yang digunakan antara anak dengan ayah, murid dengan guru, pekerja dengan majikan, dan manusia dengan Maha Pencipta.
Kedua, ‘bahasa mendatar’, iaitu kaedah yang digunakan oleh rakan sebaya. Ketiga, ialah ‘bahasa menurun’, yang digunakan oleh mereka yang tinggi kedudukannya kepada orang yang berada di bawahnya. Gaya bahasanya lebih bersifat nasihat dan ingatan, seperti seorang ayah memberikan nasihat kepada anaknya agar menjaga tatakelakuan.
Kesantunan, baik dalam memilih kata atau perkataan membolehkan persekitaran sosial yang terhasil tidak menampakkan semakin meluaskan jurang pemisahan atau persengketaan. Ia mestilah merujuk kepada kepuasan secara jujur dan ikhlas bersandarkan naluri manusia, kesalahan dibetulkan dan diterima pula langkah pembetulan yang kemudiannya timbul melalui persekitaran dialog yang berkesan. Tujuan dialog ialah mencari penyelesaian ke arah kebaikan di antara kedua-dua pihak, bukannya melebarkan jarak sengketa.
Penulis ialah Yang Dipertua, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan