UM - 13/2/11
AKHIRNYA Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan. Satu bab daripada krisis di negara itu sudah selesai. Apakah yang akan berlaku di Mesir selepas ini - sama ada kembali aman atau terus bergolak - merupakan bab yang pasti dinanti-nantikan.
Awang lega kerana Hosni tidak menunggu sehingga September ini untuk berundur. Rakyat Mesir gembira dengan peletakan jawatan Hosni yang telah 30 tahun memerintah. Beliau tumbang bukanlah kerana faktor pemerintahan yang terlalu lama semata-mata. Kualiti kepimpinan juga menjadi isu yang menyebabkan Mesir berdepan dengan banyak masalah terutama ekonomi yang telah lama membelenggu rakyat. Mesir adalah nama yang hebat dalam sejarah ketamadunan lampau. Tetapi dalam sejarah moden, negara itu tidak diurus dengan cemerlang. Pengurusan yang lemah adalah antara punca banyak negara Islam gagal memakmurkan rakyat dan memajukan negara.
Mujur Malaysia tidak berada dalam kelompok negara sedemikian. Rekod kepimpinan yang baik sejak merdeka, tradisi membela rakyat dan komitmen penambahbaikan sepanjang masa menjadikan Malaysia negara Islam contoh. Pengiktirafan dunia terhadap kecekapan pengurusan Malaysia lebih ketara di bawah kepimpinan Dr. Mahathir Mohamad.
Namun apa yang berlaku di Mesir harus menjadi pengajaran bernilai. Gejala rasuah, pengangguran dan tekanan kos hidup, jika tidak ditangani dengan berkesan boleh membawa padah.
Awang bersyukur kerana Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak berorientasikan rakyat dalam pentadbirannya. Pendekatan dan gaya kepimpinannya lebih menyakinkan bagi Malaysia menangani cabaran amat kompleks masa kini.
Bukan mudah untuk memimpin negara dalam pasca Pilihan Raya Umum ke-12 tetapi Najib telah membuktikan keupayaannya setakat ini meskipun banyak lagi yang perlu dilakukan. Awang melihat Perdana Menteri mengolah kepimpinannya secara strategik yang hasilnya sudah dirasakan.
Dr. Mahathir turut mengakui kebolehan Najib dalam ucap utamanya pada Simposium Dilema Melayu di PWTC, Kuala Lumpur semalam. ‘‘Ada harapan baru (di bawah kepimpinan Najib),’’ katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin.
Maka sebarang cubaan pembangkang khususnya Anwar Ibrahim untuk menyamakan situasi di Mesir dan di Malaysia, tidak akan berjaya. Realitinya Malaysia bukan seperti Mesir.
Anwar dalam satu ucapan di Amerika Syarikat baru-baru ini menyatakan bahawa ramai individu seperti Hosni di Malaysia. Beliau sebenarnya kecewa kerana banyak cubaannya untuk menggerakkan demonstrasi jalanan tidak mendapat sokongan majoriti rakyat negara ini. Pada Awang, mengapa demonstrasi jalanan tidak memercikkan gelombang besar adalah kerana Anwar sendiri mempunyai banyak masalah serius termasuk isu moral. Agaknya cubaan itu tidak mendapat keberkatan kerana orang yang memimpin itu sendiri tidak betul.
Malah bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari mendakwa kenyataan Ketua Pembangkang itu sebenarnya merujuk kepada dirinya sendiri.
Dakwanya lagi, Anwar tidak kurang mewahnya dan mempunyai kekayaan yang hampir setara dengan Hosni. Ini berdasarkan gaya hidupnya termasuk kekerapan ke luar negara. Awang rasa beliau menjadi Ketua Pembangkang di dunia yang paling banyak berada di luar negara. Nampaknya strategi pre-emtif Anwar menggunakan isu Hosni bagi mengalihkan perhatian sebenar kepada banyak isu yang menimpa beliau, ternyata makan tuan. Jika dilihat daripada perspektif lebih meluas, Anwar lebih menjadi ancaman kepada umat Islam berbanding Hosni. Setidak-tidaknya rakyat Mesir tidak mempunyai pemimpin seperti itu di negara mereka.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan