10 Februari 2011

Lantikan berasaskan kebolehan - PM

UM - 10/2/11


Najib Tun Razak bersama barisan Menteri Kabinet melawat perumahan penduduk di Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu Bukit Kenau di Pekan, Pahang, semalam.


KUANTAN 9 Feb. - Pelantikan mana-mana individu untuk mengetuai sesuatu syarikat milik kerajaan (GLC) dilakukan berdasarkan kemampuan dan kebolehan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak terikat kepada sesuatu dasar dalam proses pelantikan seperti mengamalkan dasar tidak boleh melantik ahli politik atau sebagainya.

"Kita sememangnya tak ada ketetapan sedemikian kerana kerajaan akan melantik berdasarkan kemampuan seseorang itu.

"Tak kira sama ada orang korporat, bekas pegawai kerajaan atau bekas ahli politik," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Datuk Dr. Zainal Aznam Mohd. Yusof yang menolak ahli politik dilantik untuk mengetuai GLC.

Zainal Aznam dalam satu forum semalam dipetik sebagai berkata, pembaharuan sebenar hanya boleh dicapai jika ada pengharaman menyeluruh pelantikan ahli politik mengetuai GLC dengan menyatakan pelantikan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda akan mengakibatkan kebimbangan pasaran.

Mohd. Isa sebelum ini pernah didakwa terbabit dalam politik wang dalam pemilihan pemimpin parti UMNO dan digantung jawatannya oleh Lembaga Disiplin pada 2005.

Menurut Najib, sesiapa sahaja yang dilantik untuk mengetuai GLC tidak menjadi masalah kerana terdapat juga ahli politik yang berkelulusan tinggi dan berpengalaman dalam bidang korporat.

"Sebagai contoh terdapat ahli politik yang berkelulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dan berpengalaman mentadbir sesebuah kementerian," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: