UM - 14/2/11
BEKAS Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, John R. Malott yang menamatkan tugasnya di Kuala Lumpur lebih 13 tahun dulu memberikan komen mengenai situasi di Malaysia dalam Wall Street Journal baru-baru ini.
Malott mendakwa, di sebalik Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Datuk Seri Najib Tun Razak, ketegangan kaum pada hari ini adalah lebih serius berbanding tahun 2009 ketika Perdana Menteri mengambil alih kepimpinan negara.
''Sesungguhnya ia adalah yang paling teruk sejak 1969...Utusan Melayu pula mendakwa pembangkang akan menjadikan Malaysia koloni China dan menghapuskan raja-raja Melayu. Utusan Malaysia juga kerap menyerang ahli politik Cina Malaysia dan mencadangkan salah seorang ahli Parlimen, Teresa Kok supaya dibunuh.
''Hakisan toleransi yang berlaku bukan hanya mewujudkan cabaran politik tetapi cabaran ekonomi. Hampir 500,000 warga Malaysia meninggalkan negara antara 2007 dan 2009. Jumlah ini adalah dua kali ganda profesional Malaysia yang bekerja di luar negara. Yang paling ramai meninggalkan Malaysia adalah tenaga mahir etnik Cina dan India yang penat dilayan sebagai warga kelas kedua dan disekat daripada bersaing dalam pendidikan, perniagaan dan kerajaan," jelasnya.
Tambah diplomat tersebut, pendirian kerajaan berhubung isu perkauman dan agama akan menyebabkan tenaga mahir negara berhijrah dan pelabur asing yang mengutamakan kestabilan kaum mencari negara lain.
Malott merupakan duta AS di Kuala Lumpur dari 1995 hingga 1998 ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Timbalan Perdana Menteri.
Berdasarkan tulisannya sebelum ini, Malott begitu mengagumi Anwar selain menyifatkan Ketua Pembangkang itu sebagai berkarisma.
Dalam artikelnya yang disiarkan Julai tahun lalu sebelum perbicaraan kes liwat kedua Ketua Pembangkang, beliau mengkritik pentadbiran Presiden Barack Obama yang diam berkenaan isu tersebut. Dia juga pernah melabel Perkasa sebagai sebuah kumpulan militan.
Ketika Naib Presiden AS, AlGore mengeluarkan kenyataan menyokong gerakan reformasi ketika berucap dalam satu majlis makan malam di Kuala Lumpur pada 1998, Malott yang merupakan duta AS ketika itu menyifatkan kenyataan tersebut disalah tafsir.
Malott memang banyak menulis atau mengeluarkan kenyataan tentang Malaysia. Beliau pernah memberitahu portal berita Malaysiakini kononnya serangan pemimpin negara ke atas Anwar mungkin boleh memakan diri. Malott juga pernah mendesak Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim memohon maaf kepada Anwar ekoran dakwaan Anwar adalah ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Bekas diplomat itu menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan bersungguh-sungguh menafikannya. Malott sering membela Anwar di saat-saat kritikal iaitu setiap kali ada isu yang mendedahkan kepincangan Ketua Pembangkang itu atau sebelum perbicaraan di mahkamah bermula.
Selain isu menyentuh mengenai Malaysia, diplomat berkenaan juga pernah membangkitkan isu masyarakat Jepun khususnya golongan ahli perniagaan yang kurang mahir berbahasa Inggeris. Baginya, perkara itu akan menyebabkan ahli perniagaan Jepun sedikit ketinggalan berbanding mereka yang mampu bertutur dalam bahasa tersebut.
Kedutaan AS di Kuala Lumpur dalam reaksinya berhubung kenyataan terkini Malott menganggap perkara tersebut adalah pandangan peribadi. Ini kerana bekas diplomat itu tidak lagi berkhidmat dalam kerajaan.
Berdasarkan latar belakang dan kenyataan Malott sebelum ini tidak mustahil kenyataan-kenyataan berkenaan dikeluarkan dengan motif tertentu.
Apa lagi perbicaraan kes liwat Anwar di Mahkamah Tinggi akan bersambung 14 Februari hingga 25 Mac depan. Sebelum ini pernah Anwar menggunakan pelbagai helah untuk melambatkan perbicaraan kes tersebut.
Semua ini adalah helah pengkhianat negara yang terdesak untuk menggunakan pihak luar demi kepentingan diri dan merosakkan imej negara.
Tindakan ini juga mampu mengalihkan perhatian di saat sokongan anggota parti politik sendiri di dalam negara semakin goyah dan rapuh.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan