UM - 15/2/11
|
|
Biarpun menghadapi jadual program yang agak padat, Timbalan Perdana Menteri tetap meluangkan masa beramah mesra dan bertanyakan soal kebajikan rakyat Merlimau yang terdiri dari pelbagai bangsa dan peringkat umur.
Muhyiddin turut sempat menjamah roti canai dan secawan kopi di salah sebuah gerai minuman di Medan Selera Pekan Merlimau sambil bertanyakan khabar dan perkembangan penduduk yang berada di gerai minuman di situ.
Dalam pada itu, beliau juga mengambil kesempatan menyerahkan sumbangan kepada 21 keluarga di situ yang terlibat dalam kejadian banjir di kawasan Jasin baru-baru ini.
Muhyiddin kemudiannya berjalan kaki beberapa meter dari lokasi medan selera tersebut ke sebuah premis perniagaan yang menempatkan peniaga pakaian, aksesori rumah dan telefon bimbit.
Kehadiran Timbalan Perdana Menteri mengejutkan penduduk dan peniaga yang kemudiannya mengambil kesempatan bersalam dan bergambar bersama beliau.
Peniaga gerai minuman berkenaan, Abdul Rahim Mohamad, 41, berkata, dia tidak akan melupakan kenangan manis bertemu pertama kali Timbalan Perdana Menteri malah berpeluang menghidangkan pemimpin negara itu makanan roti canai dan kopi.
Dia yang berniaga di situ sejak 15 tahun lalu menyifatkan Muhyiddin sebagai pemimpin yang mesra dan prihatin dengan kebajikan rakyat.
''Saya gembira kerana Timbalan Perdana Menteri sudi singgah dan minum di gerai saya, beliau merupakan pemimpin yang pertama datang di gerai ini dan beliau juga mesra dengan masyarakat," katanya.
Selain itu, Lim Lam Seng, 51, berkata, dia tidak sangka hajatnya untuk menemui Timbalan Perdana Menteri hari ini tercapai.
Ini kerana, katanya, Timbalan Perdana Menteri seorang pemimpin yang amat sibuk dengan urusan rasmi kerajaan tetapi demi menjaga hati rakyat, beliau sanggup meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan rakyat.
''Beliau juga tidak keberatan mendengar masalah penduduk, biarpun masalah yang dikemukakan agak remeh tetapi beliau tetap memberi tumpuan kepada setiap masalah yang dimaklumkan," katanya.
Bagi K. Indra, 39, dia tidak sangka Muhyiddin memilih untuk duduk semeja dengannya di gerai minuman tersebut biarpun masih banyak meja kosong di gerai itu.
''Saya agak gementar apabila melihat Timbalan Perdana Menteri datang dan terus di meja saya tetapi perasaan itu tiba-tiba hilang apabila melihat keramahan beliau," katanya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan