UM - 2/2/11
KUALA LUMPUR 1 Feb. - MIC menyifatkan pemimpin India yang memilih Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memperjuangkan kebajikan masyarakat itu sebagai tersilap langkah.
Setiausaha Agungnya, Datuk T. Rajagopalu justeru berkata, mereka yang masih berada dalam PKR sepatutnya sedar bahawa parti pembangkang itu tidak mempunyai agenda yang mampu memperjuangkan kebajikan kaum tersebut.
"Mereka patut membuka mata terhadap keprihatinan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mendahulukan rakyat seperti disarankan dalam mencapai Gagasan 1Malaysia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas mengenai pemimpin India yang masih setia dalam PKR hanya berpura-pura kerana mereka tidak ada tempat dalam parti itu.
Kenyataan tersebut menyusul berikutan tindakan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan mengumumkan keluar PKR dan melepaskan semua jawatannya dalam parti itu, baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda MIC, T. Mohan berkata, kebanyakan pemimpin India yang berada dalam PKR sudah tahu kedudukan mereka goyah dan tidak selamat lagi untuk berada dalam parti pembangkang itu.
"Mereka sudah termakan janji manis Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kini dipinggirkan di dalam parti kerana tiada jawatan yang penting diberikan kepada mereka.
"Jika orang kuat parti seperti Gobalakrishnan sudah keluar, siapa lagi yang sanggup tunggu dalam parti pembangkang itu," soalnya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan