14 Februari 2011

Perjuangan Zaharuddin diteruskan

UM - 14/2/11


Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada Rozlifah Ahmad, balu Allahyarham Zaharuddin Abu Kassim ketika menziarah rumah mereka di Kerdau, Temerloh, semalam. – BERNAMA


TEMERLOH 13 Feb. – Pembangunan berkesan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau oleh wakil rakyatnya, Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim yang meninggal dunia semalam, akan diteruskan Barisan Nasional (BN).

Pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, BN akan mencari pengganti yang sesuai bagi meneruskan perjuangan Zaharuddin dalam membela nasib rakyat di DUN Kerdau.

“Mengikut Perlembagaan, Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau perlu diadakan berikutan kematian Allahyarham dan tarikh tersebut akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti.

“Masa depan tempat itu akan terus dimajukan dan kami akan cari pengganti bagi meneruskan perjuangan Allahyarham,” katanya.

Najib berkata, BN bersedia menghadapi pilihan raya itu secara terbuka dan akan mencari calon sesuai bagi memberikan khidmat berkesan kepada masyarakat Kerdau.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri, Datuk Seri Wan Mohamed Razali Wan Mahussin akan memaklumkan secara rasmi mengenai kekosongan kerusi DUN Kerdau kepada SPR esok untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, surat memaklumkan kekosongan DUN itu akan dihantar kepada SPR sejurus pihaknya menerima surat pengesahan kematian Allahyarham Zaharuddin.

Katanya, secara tidak rasmi beliau sudah memaklumkan kekosongan kerusi DUN tersebut kepada pihak SPR semalam.

Pengarah SPR negeri, Datuk Ismail Mohd. Yusoff berkata, Wan Mohamed Razali akan menyerahkan surat rasmi mengisytiharkan kekosongan kerusi itu kepada pihaknya esok sebelum diserahkan ke ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.

Selepas itu, katanya, SPR akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan tarikh penamaan calon dan pilihan raya kecil di kawasan itu.

Zaharuddin, 64, meninggal dunia selepas terjatuh di dalam bilik air akibat serangan jantung di rumahnya di Kerdau dan dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hosas) di sini.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon Pas, Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Beliau memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin pula meraih 2,520 undi.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: