UM - 14/2/11
LABUAN 13 Feb. - Siri pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) baru-baru ini merupakan sebahagian rangka persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, justeru itu semua pemimpin BN perlu bekerja dengan lebih keras dan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
"Kita tidak tahu bila pilihan raya sama ada esok atau bila, tetapi semua kepimpinan bahagian harus memastikan bahawa gerak kerja kita di peringkat bahagian dapat dimantapkan.
"Jangan tunggu diumumkan (tarikh pilihan raya umum) kerana kita tidak tahu sama ada tahun ini atau tahun depan, yang tahu hanyalah Presiden parti," katanya.
Shafie yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian karnival sukan Sempena program Juara Rakyat di Padang Perbadanan Labuan di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad.
Sempena lawatan kerja tersebut Shafie turut meninjau beberapa projek program bantuan rumah di Kampung Pohon Batu dan Kampung Tanjung Aru di sini.
Semalam Najib telah bertemu dengan 118 Ketua Bahagian UMNO dari seluruh negara dalam usaha memperkuatkan parti.
Sebelum ini Perdana Menteri juga mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selain mengadakan beberapa pertemuan dengan pemimpin BN di beberapa negeri.
Menurut Shafie yang juga Naib Presiden UMNO pertemuan Perdana Menteri dengan pemimpin BN merupakan salah satu daripada pembaharuan yang dilakukan dalam sistem politik negara.
Katanya, dengan pertemuan itu Perdana Menteri bukan sahaja memberi peringatan malah mengenal pasti permasalahan yang dihadapi di setiap kawasan.
"Jadi kita selaku pemimpin akar umbi harus terus menggerakkan setiap kerja kita tidak kira masa dengan berusaha mendampingi rakyat, bukan hanya mengenali masalah rakyat tetapi mengatasi masalah mereka," katanya.
Ditanya mengenai gesaan Perdana Menteri supaya semua bahagian UMNO menyelesaikan masalah dalaman dengan segera Shafie memberitahu, perkara itu amat penting dalam memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, meskipun masalah tersebut tidak berada di tahap yang serius ia perlu diatasi dengan sebaik mungkin sebelum pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, mengulas mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Kerdau, beliau berkata, meskipun kawasan itu adalah kubu kuat BN tetapi semua jentera parti diminta tidak alpa sebaliknya terus bekerja keras.
"Kita doakan mudah-mudahan ADUN berkenaan mendapat keredaan Allah dan apa yang dilakukan sepanjang perkhidmatan beliau dirahmati-Nya," ujar Shafie.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan