UM - 8/2/11
KUALA LUMPUR 7 Feb. - Hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka untuk melihat calon mereka bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada 6 Mac depan tidak kesampaian.
Ini apabila mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang yang diadakan di Pejabat DAP di sini hari ini memutuskan untuk mengekalkan status quo kepada Pas yang bertanding di kerusi tersebut pada pilihan raya umum lalu.
Pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu, Pas akan bermesyuarat untuk memilih calon yang akan mewakili mereka sebelum mengemukakannya kepada pimpinan pakatan pembangkang.
"Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga meminta supaya seluruh jentera pakatan pembangkang dikerahkan untuk membantu Pas pada pilihan raya ini," katanya.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Abdul Hadi, Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali; Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.
Kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan yang juga Exco kerajaan negeri meninggal dunia pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.
Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau pada 26 Februari ini manakala hari pembuangan undi pada 6 Mac depan, jika ada pertandingan.
PKR sebelum ini dilaporkan menawarkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang juga Pengerusi Perhubungan Negeri (PPN) PKR Melaka untuk bertanding di kerusi itu.
Namun kepimpinan Pas bertegas mahukan status quo di kerusi kawasan majoriti pengundi Melayu itu dipertahankan.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, kerusi Merlimau diwakili calon Pas, Jasme Tompang namun kerusi itu diwakili oleh calon PKR pada pilihan raya 2004 menerusi S. Jayanthas.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas akan mengadakan mesyuarat untuk meneliti senarai calon pada pilihan raya kecil itu pada 13 Februari ini.
"Pas akan mendapatkan maklumat daripada Pas negeri Melaka untuk memilih calon yang sesuai," kata beliau.
Kepada satu soalan mengenai kemungkinan calon Pas itu adalah wanita seperti pada Pilihan Raya Kecil DUN Tenang, Abdul Hadi berkata, ia bergantung kepada mesyuarat yang akan diadakan nanti.
Dalam perkembangan berlainan, Anwar berkata, Abdul Hadi akan mengetuai delegasi untuk berjumpa dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai beberapa isu.
Antaranya, kata beliau, berkenaan proses dan prosedur yang melibatkan tugas polis dalam mengawal ceramah pilihan raya kecil supaya lebih telus, profesional dan adil.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan