28 Februari 2011

Produk tempatan terpinggir

SHAH ALAM 27 Feb. – Produk dan perkhidmatan buatan tempatan sukar berkembang di Malaysia kerana pusat membeli-belah utama kurang memberi ruang kepada usahawan-usahawan itu.

Mereka tidak mampu memiliki lot perniagaan dan tidak berpeluang memasarkan produk mereka di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pelancong asing dan rakyat tempatan berbelanja, kata Pengerusi Eksekutif Leesa Formula Sdn. Bhd. (Leesa Formula), Zulkefli Muhamad Ali.

Katanya, kebanyakan pusat membeli-belah lebih mengutamakan penjualan rangkaian luas produk dan jenama asing meskipun sesetengah kurang dikenali apabila dibandingkan dengan produk tempatan.

Zulkefli berkata, pihaknya telah terlibat dalam perniagaan hampir 10 tahun dan mendapati masalah itu menjadi kekangan utama kepada usahawan terutamanya bumiputera.

“Apa yang pelik, para pelancong yang datang ke sini mahu membeli barangan yang tiada di negara mereka. Sepatutnya pusat membeli-belah mengambil kesempatan ini dengan memberi peluang kepada pengusaha tempatan memasarkan produk mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Zulkefli kini mengendalikan perniagaan produk kecantikan berasaskan herba, spa dan busana muslimah melalui syarikat yang ditubuhkan bersama-sama isterinya termasuk mempunyai cawangan di Pusat Membeli Belah Terkemuka Pavillion di Kuala Lumpur.

Beliau mencadangkan kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC) turut berperanan dengan mendirikan pusat membeli- belah di kawasan tumpuan pelancong dan disewakan khas kepada usahawan tempatan bagi memasarkan produk masing-masing.

Katanya, terdapat sebuah pusat membeli-belah popular di Lembah Klang pernah menyuruh beliau kembali ke pusat itu untuk mengambil semula kertas cadangan memohon mendapatkan lot perniagaan di situ.

“Saya agak terkejut dengan tindakan itu, sedangkan kami sudah mempunyai jenama tersendiri dan rekod jualan baik.

“Kerajaan perlu masuk campur jika keadaan itu mungkin mempunyai unsur-unsur perkauman,’’ kata Zulkefli.

Beliau mengharapkan pusat membeli-belah memberi kepercayaan kepada jenama tempatan jika mendapati rekod perniagaan dan berpotensi untuk berkembang kerana lokasi perniagaan mampu memberi impak sesuatu pendapatan perniagaan.

“Contohnya pendapatan butik kami di Pavilion, agak tinggi melebihi 20 peratus berbanding butik di lokasi lain. Ini disebabkan pusat itu merupakan lokasi tumpuan termasuk pelancong tempatan dan asing,” ujarnya.

Beliau mengharapkan untuk membuka lebih banyak perniagaannya di pusat membeli belah kerana keuntungan dapat digandakan.

Pada masa sama, tegasnya, usahawan tempatan terutama sekali bumiputera harus membuka mata untuk menjalankan perniagaan bernilai tinggi tambahan pula dengan adanya kemajuan sistem telekomunikasi ketika ini.

Katanya, mereka juga perlu mengetahui dengan terperinci latar belakang sesuatu perniagaan yang ingin diceburi dan peluangnya pada masa hadapan selain menerapkan pengurusan perniagaan yang bersistematik.

“Selain itu, kemahiran dan pengetahuan terhadap penggunaan teknologi terkini penting di dalam perniagaan zaman ini kerana ia boleh menentukan kejayaan sesuatu perniagaan,” ujar beliau sambil menyifatkannya sebagai salah satu aspek penting menambah nilai produktiviti perniagaan.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/2/11

Tiada ulasan: