16 Februari 2011

Sambut dengan penuhkeinsafan

UM - 16/2/11

PUTRAJAYA 15 Feb. - Sambutan Maulidur Rasul tahun ini disambut dengan penuh keinsafan dan diisi dengan pelbagai aktiviti keagamaan bagi memperingati jasa dan perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sambutan peringkat kebangsaan berlangsung di sini dimulakan dengan perarakan sejauh 2.4 kilometer disertai 10,315 peserta daripada 114 kontinjen dari Dataran Putra hingga ke Qiblat Walk, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengetuai perarakan itu yang turut disertai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke perhimpunan Maulidur Rasul bertemakan "1Malaysia 1Ummah" itu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa menteri Kabinet yang lain.

Majlis yang bermula kira-kira pukul 9 pagi dimulakan dengan bacaan ayat al-Quran dan selawat sebelum disusuli ceramah agama yang disampaikan oleh Mufti negeri Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad.

Pada sambutan itu juga, seramai tujuh orang menerima anugerah sempena majlis sambutan kali ini iaitu seorang penerima Anugerah Perdana manakala enam orang lagi menerima Anugerah Maulidur Rasul.

Majlis sambutan turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada peserta-peserta cilik melalui program realiti "Adik-Adikku' musim pertama dan kedua.

Mereka mempersembahkan deklamasi sajak, syair, nyanyian gabungan bahasa Arab dan Inggeris serta selawat ke atas nabi.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: