16 Februari 2011

Yakin lebih ramai akan keluar PKR

UM - 16/2/11

Berikut bahagian akhir wawancara wartawan Utusan Malaysia, RAJA SYAHRIR ABU BAKAR dengan Ahli Parlimen Bayan Baru, DATUK SERI ZAHRAIN MOHAMED HASHIM.

BAGAIMANA pembentukan polisi bersama pakatan pembangkang yang dahulu diusahakan oleh Datuk Zaid Ibrahim.

Saya tidak terlibat dalam pembentukan polisi itu tetapi jelas nampak, memang tiada pun yang sepakat dalam pakatan itu. Strategi bersama yang ada sekarang ialah usaha untuk memperkukuhkan DAP.

Kenapa Datuk kata memperkuatkan DAP? Adakah mereka lebih dominan atau mereka bijak memanipulasi sentimen?

Saya kata begitu kerana banyak isu yang dibawa oleh pakatan pembangkang adalah isu perkauman. Mereka menggunakan sentimen ‘ketuanan rakyat’. Saya percaya tujuan mereka memainkan sentimen itu untuk memperkuatkan perjuangan ‘ketuanan rakyat’ yang diperkenalkan oleh DAP melalui agenda Malaysian Malaysia.

Konsep ketuanan rakyat itu tidak bercakap mengenai Islam, tidak cakap tentang Melayu. Saya percaya ini menguatkan agenda DAP. Kalau itu yang menjadi dasar bersama untuk pakatan pembangkang, ia secara langsung membelakangkan segala niat murni yang telah diusahakan kerajaan sejak kita merdeka dahulu. Dan kalau ikut isu ketuanan rakyat, bermakna mereka membelakangkan Perlembagaan Negara.

Jadi, adakah kepimpinan PKR dan pembangkang melalui Anwar dahulu fikir lain dan sekarang fikir lain?

Dasar-dasar yang tidak konsisten dalam pembangkang semakin terserlah. Misalnya, semasa saya jadi Pengerusi PKR Pulau Pinang, saya diarah oleh Anwar Ibrahim supaya saya tidak tunduk kepada DAP.

Tetapi selepas memenangi (lima negeri) pilihan raya umum lalu, dia (Anwar) boleh beritahu saya, “sekarang kita lupakan Pas, kita mesti bekerjasama dengan DAP sebab kita ada agenda yang lebih besar lagi.” Jadi, bermakna Anwar ini, satu hari cakap lain dan hari berikutnya akan cakap lain pula. Lusa pula dia akan kata “kita akan terus kerjasama erat dengan Pas”, ini apa cerita? Yang itu jelas cakap tak serupa bikin dan berbohong.

Bagaimana Datuk melihat peranan Pas dalam pakatan pembangkang kini?

Saya nampak Pas kelam kabut. Agenda Pas untuk membina negara Islam tidak lagi kedengaran. Tidak ada pun pemimpin Pas kini berani atau lantang bersuara membangunkan negara Islam. Ia seolah-olah tidak timbul langsung. Kenapa Pas tidak boleh perjuangkan negara Islam dalam pakatan pembangkang? Apakah pihak UMNO...saya bukan nak sokong UMNO, tetapi Pas seolah-olah meletakkan UMNO lebih kafir daripada DAP.

Pada saya, jika Pas bercita-cita mahu menegakkan negara Islam, dia perlu bekerjasama dengan UMNO. Sedangkan DAP itu bersifat mahu menegakkan ‘kecinaan’. DAP mahu sama rata pada semua, kenapa Pas boleh bersekongkol? Saya yakin ini bukan pendirian Pas secara keseluruhan tetapi ada pihak tertentu dalam Pas yang rasa mereka boleh untung besar jika Anwar jadi PM.

Jadi, pendirian dan perjuangan asas Pas kini telah diketepikan. Saya percaya jika Allahyarham Ustaz Fadzil Noor masih hidup, beliau akan menangis melihat perjuangan Pas kini. Ini pembohongan terhadap seluruh umat Islam terutama rakyat yang menyokong Pas. Isu utama Pas kini bukan lagi berkenaan hal ehwal Islam tetapi agenda mereka ialah untuk meletakkan Anwar sebagai PM.

Jika Datuk rasa pakatan pembangkang kini terkeluar dari landasan perjuangan asal, apa yang ingin Datuk pesan kepada pemimpin mereka?

Kepada Pas dan PKR, bukalah mata. Apa yang saya katakan ini tidak ada kaitan dengan material atau sesetengah dakwaan mengatakan saya ini gelojoh. Saya tidak ada niat untuk menjadi PM, bukan tujuan saya nak terlibat dalam politik untuk merampas kuasa dalam pentadbiran kerajaan. Isunya ialah kita mahu membetulkan keadaan negara dan ini bukan kerja saya seorang. Ini memerlukan usaha semua pihak terutama yang terlibat dalam politik.

Kita kena letak balik senario politik negara ke tempat asal supaya kita berpolitik dengan penuh etika. Ramai orang sudah meluat dengan politik kerana mereka merasakan politik ini kotor. Jadi, terpulang kepada kita (ahli politik) bagaimana mahu berpolitik, kita boleh gunakan cara kotor atau kita amalkan politik yang positif serta berhemah.

Kepada pembangkang, jangan terlalu kotor dalam berpolitik kerana tindakan itu akan hanya merosakkan negara. Anda sebagai seorang ahli politik perlu bertanggungjawab dengan setiap kenyataan yang dikeluarkan, jangan menipu rakyat supaya percaya kepada sesuatu perkara yang tidak benar atau tidak akan wujud seperti 16 September. Kalau pemimpin itu kaki pembohong, dan anda sokong pemimpin yang pembohong, maka PKR, Pas dan DAP juga membohongi rakyat.

Datuk masih lagi Ahli Parlimen Bebas yang tidak menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak, mengapa?

Kita yang bebas ini menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang benar. Kita yang mewujudkan kaukus Ahli Parlimen Bebas sebenarnya ingin lari daripada politik kepartian. Ia satu jawatankuasa bebas di Parlimen yang bukan bersifat rasmi. Sebagai ahli bebas, lebih mudah untuk saya mengkritik kerajaan mahupun pembangkang.

Saya tidak terikat. Ada masa saya tegur kerajaan, tetapi apa yang saya tak boleh tahan hari ini adalah pembohongan pakatan pembangkang. Bagi saya, dalam wadah berpolitik ini, kita perlu mempunyai sempadan. Jangan langkah sempadan itu. Jangan bawa isu-isu yang boleh merosakkan negara seperti perkara yang boleh dianggap hasutan, mencaci kaum lain, berkaitan agama dan sebagainya.

Sebagai ahli politik, kita perlu jaga kesemua itu. Jangan berpolitik dan mencari pengaruh sehingga menjahanamkan negara dan masyarakat. Sikap pimpinan PKR dan pembangkang juga menyedihkan kerana bukan setakat dalam negara, mereka juga memburukkan negara sewaktu berkunjung ke luar negara. Pada saya, ia satu pengkhianatan kepada negara.

Adakah Datuk akan menyertai BN, pembangkang semula atau kekal bebas pada pilihan raya umum akan datang?

Setakat ini, saya langsung tidak terfikir mengenai perkara itu, seperti yang saya katakan tadi saya tidak mempunyai niat untuk menjadi PM mahupun menteri. Saya menjalankan kerja saya hari ini sebagai ahli Parlimen bebas dan saya turun padang untuk melakukan kerja. Saya tidak fikir tentang pilihan raya umum ke-13 sekarang. Tapi saya akan memikirkannya apabila tiba waktunya nanti. Jika mahu bertanding, saya perlu menggunakan tiket mana-mana parti atau tubuhkan parti sendiri.

Selain itu, saya juga ada pilihan seperti Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Parti Cinta Malaysia (PCM). BN pun ada dan pakatan pembangkang pun ada. Tetapi setakat hari ini, saya tak minat menyertai semula pakatan pembangkang. Saya tak minat selagi Anwar Ibrahim menjadi ketua dan sebab-sebab yang telah saya huraikan tadi. Bagaimanapun, saya belum memikirkan mengenai hasrat bertanding pada pilihan raya umum akan datang, belum waktunya untuk memikirkan perkara itu.

Mengapa Datuk dilihat anti-Anwar Ibrahim sedangkan ramai pemerhati politik sedar Datuk merupakan sahabat dan sekutu kuatnya satu masa dahulu?

Anwar Ibrahim ialah manusia luar biasa, sebab dia ada satu aura yang boleh mempengaruhi orang. Begitu juga dengan Adolf Hitler, Idi Amin, Benito Mussolini dan Kamal Attarturk. Kesemua pemimpin ini mempunyai kebolehan berpidato yang baik. Bagi pemimpin seperti ini, mereka sebenarnya tidak begitu memikirkan tentang rakyat di bawah. Inilah jenis pemimpin-pemimpin diktator.

Dalam pemilihan PKR baru-baru ini, kita lihat bagaimana huru-hara berlaku kerana hanya pemimpin tertentu memenangi jawatan tertinggi dan kita tahu mengapa. Jika kita tengok, amalan nepotisme memang jelas dalam PKR dan DAP. Anak beranak sahaja yang dilihat menguasai tampuk tertinggi pemerintahan kedua-dua parti tersebut.

Mengenai kuasa, mengapa Datuk fikir DAP menyerahkan jawatan Ketua Pembangkang kepada Anwar, walhal DAP mempunyai paling banyak kerusi di Parlimen?

DAP ini satu parti yang cekap, mereka tahu mereka tidak akan boleh jadi PM dan memerlukan seorang bakal PM yang boleh tunduk kepada kehendak mereka. Siapa? Anwar Ibrahimlah. DAP tidak mahu kacau status quo Anwar sebagai Ketua Pembangkang kerana DAP tahu rahsia Anwar. Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew juga tahu mengenai rahsia Anwar seperti didedahkan oleh WikiLeaks. Kenapa sampai sekarang Anwar tidak saman WikiLeaks dan Kuan Yew? Saya rasa semua pihak tahu kaitan DAP dan PAP, parti yang diterajui Kuan Yew.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: