22 Mac 2011

1Malaysia jadi simbol perpaduan dan patriotisme – PM

KUALA LUMPUR 17 Mac – Konsep 1Malaysia, yang dilancarkan hampir dua tahun lepas, kini telah menjadi simbol dan sebutan yang menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, sejak pelancaran konsep itu sebaik beliau mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada 3 April 2009, penerimaan rakyat terhadapnya amat memberangsangkan.

"Kini sama ada di kota mahu pun di desa, malah di luar negara sekalipun laungan 1Malaysia tidak lekang dari bibir rakyat Malaysia di setiap majlis dan aktiviti masyarakat,” katanya semasa menjawab soalan Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim/Bandar Baru) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Zulkifli ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mengolah semula konsep 1Malaysia supaya tidak diputarbelitkan oleh pihak tertentu sehingga memberi persepsi mengelirukan kepada rakyat dengan penafsiran yang berbeza dan pelbagai.

Najib mengakui terdapat pihak tertentu yang hanya memikirkan kepentingan politik mereka dengan sentiasa mencari jalan untuk memutarbelitkan fakta berhubung konsep 1Malaysia, bagi mewujudkan modal politik yang boleh mereka perdagangkan.

/hwa: utusan.com.my | bernama - 17/3/11

Tiada ulasan: