10 Mac 2011

Anak Dia Anak Kita Juga

Oleh Rohana Mustaffa dan Hazlinda Hamzah

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Ketika berbual mengenai kehidupan masyarakat Kampung Baru, Kuala Lumpur suatu ketika dulu, seorang penduduk menceritakan bagaimana rapatnya hubungan mereka satu kampung, hinggakan mereka tahu anak siapa yang `dating' atau bercinta dengan siapa.

"Kalau ada yang berani berlaku sumbang akan kami 'kerjakan'," kata penduduk itu, bangga.

Sikap 'jaga tepi kain orang' ini bagi mereka ialah untuk kebaikan kehidupan di kampung itu, begitu juga di tempat-tempat lain di negara ini. Amalan itu sesuatu yang diterima atas semangat kejiranan dan kekeluargaan suatu ketika dulu.

JAGA TEPI KAIN

Penulis pernah melalui pengalaman sebaliknya dengan episod mirip "jaga tepi kain orang" ini. Suatu hari beliau cuba membantu membawa anak jiran yang bersembunyi di tandas sebuah surau sambil merokok pada waktu sekolah, balik semula ke sekolahnya.

Bagaimanapun beberapa hari kemudian penulis terkejut mendapati keretanya yang diparkir di luar kawasan rumah, ditendang dan dirosakkan, dengan keempat-empat tayarnya dipancitkan.

Lebih mengejutkan ialah reaksi ibu remaja itu.

Pengalaman dimarahi dan diugut jiran yang tidak menyedari kebaikan perbuatan 'menolong anaknya umpama anak sendiri', ialah sesuatu yang sukar dilupakan.

"Kenapa tidak kita amalkan pegangan seperti itu pada zaman ini, iaitu 'anak dia, anak kita'.

"Di dalam rumah, anak itu anak dia, tetapi di luar rumah menjadi anak kita. Kita sama-sama jaga dan ambil berat," cadang moderator forum perdana "Cabaran dan Strategi Menangani Gejala Sosial Yang Semakin Parah", Ustaz Masridzi Sat.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid) Malaysia itu memulakan bicara dengan memberi senario ini - betapa hidup bermasyarakat tidak lagi mengamalkan sikap ambil berat sesama sendiri.

JAGA TEPI KAIN

Beliau tidak faham kenapa disebabkan tidak mahu dianggap menjaga tepi kain orang, seorang jiran memilih untuk melencong jauh ke rumahnya bagi mengelakkan terserempak dengan anak remaja jiran bercumbuan di luar pagar rumah.

Mereka yang mahu mengelak ini, tanpa disedari menggalakkan perbuatan sumbang seperti ini berleluasa, kata Masridzi.

"Sikap ambil peduli boleh menyelamatkan keadaan dan mencegah kemungkaran, walaupun bukan anak kita, tetapi anak jiran sepatutnya dianggap anak sendiri juga," katanya pada forum anjuran Hotel De Palma Ampang itu.

Forum itu menjemput Ustaz Mohd Farhan Abdullah Al-Hafeez, Datuk Nahwari Hashim dan Kiayai Hasan Shazali Ahmad Shuhud sebagai penceramah.

Hadirin terdiri daripada kariah Surau Nurul Hikmah hotel itu, masyarakat kawasan perumahan berdekatan, pelajar remaja bersama ibu bapa mereka dan warga kerja serta pengunjung Hotel De Palma.

Sesi ceramah itu bersetuju dalam memperkata mengenai gejala buang bayi dan sebagainya, turut berpunca daripada sikap tidak ambil pusing ibu bapa dan masyarakat mengenai apa yang berlaku dan dilakukan anak-anak remaja di sekeliling mereka.

ANAK LUAR NIKAH

Farhan yang memeluk agama Islam beberapa tahun lepas berkata beliau sedih melihat bertambahnya jumlah penghuni di pusat-pusat serenti di seluruh negara serta ramainya anak yang dilahirkan luar nikah. Ia angka yang amat membimbangkan.

Memang tidak dinafikan usaha membendung gejala sosial ini perlu dipikul bersama oleh masyarakat dan kerajaan secara lebih proaktif.

Jika diikutkan bajet yang diberikan kepada jabatan-jabatan agama memang tidak mencukupi untuk mengadakan program membantu anak-anak muda yang terlibat, tetapi kerjasama masyarakat dengan mengambil peduli, mengajak mereka ke jalan yang betul, boleh membantu.

Forum itu turut bersependapat bahawa mengajak anak-anak remaja Melayu mendekatkan diri ke masjid ialah antara langkah membawa mereka kembali kepada ajaran agama.

"Dekatkan diri dengan Al-Quran dan cintakan Allah. Cara itu sajalah untuk memperbaiki keadaan," kata Kiayai Hassan, Mursyid' Am Perkid.

"Merawat gejala sosial melalui konsep Taubah (atau menyesal dan balik ke pangkal jalan), Solat (atau sembahyang) dan Zikrullah (atau amalan mengingati Allah) akan menjadikan usaha membersihkan jiwa, roh dan hati mudah dicapai.

"Ini akan mendatangkan ketenangan hati yang diperlukan untuk menghindari masalah yang memudaratkan institusi keluarga dan masyarakat," katanya.

BEKAS PENGARAH JAIS

Nahwari, bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), mengingatkan mengenai betapa pentingnya institusi agama dalam menyelesaikan gejala sosial yang melanda kehidupan masyarakat zaman ini.

Katanya mengenali masjid perlu ditekankan kepada anak-anak remaja sebelum terlambat.

"Jangan pula keputusan peperiksaan saja yang semakin baik dan meningkat sedangkan akhlak merudum turun. Jagalah syahadah, ibadah, tauhid dan semuanya. Semoga gejala ini tidak menebal dalam kalangan kita dan keluarga," katanya.

TANGGUNGJAWAB SIAPA?

Forum itu turut membincangkan mengenai tanggungjawab besar siapa sebenarnya dalam membendung gejala sosial remaja ini.

Adakah ibu bapa sepenuhya atau kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan dan pendedahan untuk mereka?

"Tidak perlu kita menuding jari," kata mereka.

Kata Kiyaai Hassan: "Strategi menangani masalah ini memerlukan kesefahaman dan muafakat semua pihak, baik golongan yang berkuasa di dalam negara mahupun masyarakat.

"Golongan ulama dan cendekiawan agama juga perlu memainkan peranan membimbing ummah dengan baik dan berterusan. Dan pihak Al-Umara (atau pemimpin dan kerajaan) pula perlu memimpin ummah dengan kuasa yang selari dengan objektif yang dipersetujui dan di atas landasan yang betul," katanya.

KAUNSELING

Sempena penganjuran forum membincangkan isu yang menjadi kebimbangan masyarakat masa kini, Hotel De Palma mengambil inisiatif tambahan untuk mewujudkan kemudahan membuat temu janji menghadiri sesi kaunseling secara percuma.

Sesi kaunseling itu bertujuan memberi peluang kepada remaja mahupun ibu bapa berkongsi isu dan persoalan hidup, bersama seorang kaunselor yang berkebolehan untuk mendengar dan memberikan nasihat.

Khidmat kaunseling ini ialah dengan kerjasama Perkid yang berpengalaman dalam mengadakan kaunseling kerana ia banyak menjalankan program pemulihan sejak lebih 20 tahun.

Kesanggupan para ulama, NGO seperti Perkid dan hotel untuk turut sama memainkan peranan menjadi penasihat dan pembimbing anak remaja bermasalah ini diharapkan dapat membendung gejala yang dibimbangi semua.

Semoga amalan menjadikan 'anak dia anak kita juga' sesuatu yang diterima ke arah membentuk masyarakat berakhlak dan penyayang.

/hwa: www.bernama.com.my | bernama - 10/3/11

1 ulasan:

Unknown berkata...

Anak Luar Nikah.
Satu gejala sosial anak-anak Melayu yang kian meruncing. Perlu tindakan segera oleh semua pihak. Keluarga, Rakan Sekolah (peer group), Rakan Sepejabat, Rakan Sekampung, Rakan Kenalan dan apa jua cara yang boleh anak-anak malang ini didampingi. Lebih malang anak-anak yang luar nikah ini dibuang seperti sampah kemudian ada yang digonggong anjing ke merata tempat. Betapa sedihnya hal ini, hal manusia yang tidak berperikemanusiaan. Yalah mungkin saya hanya boleh mengutarakan setelah PERKARA ini berlaku. PERBUATAN ini berlaku dengan senyap dan licik tanpa diketahui oleh sesiapa. HANYA SIPELAKU itu sahaja yang mengetahui BAGAIMANA, DI MANA DAN DENGAN SIAPA.
PENCEGAHAN adalah lebih baik dan sangat baik daripada ia sudah terlanjur dan berlaku dan menjadi masalah BESAR, MALU dan DIHUJUNG KEHIDUPAN ITU NANTI - ANAK LUAR NIKAH berada dalam MASYARAKAT ISLAM, MELAYU DAN NEGARA. Apabila anak-anak ini membesar kelak mereka akan tersisih dan disisihkan oleh Masyarakat. Semalam 9.3.2011, di TV 1 dalam Episod 'Rencana Khas' - bilangan anak luar nikah ini mencecah 70,000 lebih di seluruh Negara setakat siaran ini dikeluarkan. Unjuran Laporan ini bahawa; Setaip 17 minit akan lahir 1 orang anak luar nikah. SEDIH sungguh SEDIH.
UNTUK mengatasinya mari kita kenalpasti SIAPA MEREKA INI sebenarnya? Adakah mereka Pelajar Sekolah, Penuntut di IPT, IPTA atau mereka yang TERCICIR dari ARUS PERDANA PERSEKOLAHAN atau siapa sahaja? Golongan yang manakah yang kita akan kaji untuk membendungnya.
Langkah untuk AJAR, DIDIK dan ASUH mereka-mereka ini; bahawa SEKS BEBAS itu NERAKA. DIDIK mereka dengan MEMBACA SEGALA RENCANA yang menjurus kepada TAKUT kepada perbuatan KEJI itu.
Dengan AJARAN MEMBACA, 3 elemen penting akan meresapi jiwa SIPEMBACA: Elemen KOGNITIF (cognitive), Elemen PERSEPTIF (perception) dan Elemen AFEKTIF (affective) akan mempengaruhi serta meresapi jiwa SIPEMBACA melalui BAHAN BACAAN yang dibaca. Nabi Muhammad s.a.w. di ajar oleh Jibrail untuk Membaca sedangkan Nabi sendiri tidak pernah ke sekolah. Wassalam.