26 Mac 2011

Analisis: Buku Jingga: Antara mimpi dan kenyataan

Oleh Kadir Dikoh
bhnews@bharian.com.my
2011/03/26

Cadangan pembangkang boleh beban kewangan kerajaan

BUKU Jingga yang meletakkan 10 janji bersifat populis dijaja pembangkang terdiri daripada parti PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dijangka dibawa menyeberang Laut China Selatan untuk 'dipasarkan' dalam pilihan raya negeri Sarawak bulan depan.

Bagi kebanyakan rakyat Sarawak yang mungkin belum pernah didedahkan dengan kandungan buku bertemakan ‘Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia’ yang mengandungi cadangan dasar alternatif kononnya akan membawa perubahan kepada nasib rakyat Malaysia, perlu lebih berhati-hati.

Antara yang mungkin menarik perhatian masyarakat di Sarawak ialah janji:

  • Menaikkan elaun guru sebanyak RM500;
  • Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan;
  • Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA);
  • Reformasi institusi utama kerajaan;
  • Mengurangkan subsidi sektor korporat; dan
  • Mencapai pendapatan isi rumah RM4,000.

    Buku Jingga dibahagi kepada dua kategori iaitu 10 janji yang akan dilaksanakan dalam masa 100 hari pembangkang menjadi kerajaan persekutuan dan 39 janji di bawah tajuk ‘Dasar Bersama’ atau ‘Common Policy.’

    Buku itu tidak menjelaskan dari mana sumber kewangan untuk menunaikan segala janji. Apabila dijanjikan dengan penambahan elaun, guru dan ahli keluarga mereka akan pasti tersenyum. Ada sekitar 400,000 guru di seluruh negara dan jika elaun RM500 itu dilaksanakan, maka kos yang diperlukan ialah RM2.4 bilion iaitu sebanyak 0.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Dari mana untuk mendapatkan sumber sebanyak itu, sedangkan banyak keperluan lain juga perlu diberi tumpuan seperti kemiskinan luar bandar.

    Untuk pengetahuan, dalam Rancangan Malaysia Ke-10, 60 peratus tumpuan bagi menaiktaraf guru kelulusan diploma kepada ijazah, akan melonjakkan tangga gaji perguruan. Seramai 924 guru besar pula bakal menerima ganjaran RM7,500 seorang kerana berjaya meningkatkan prestasi sekolah masing-masing di bawah tawaran baru, manakala lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang.

    Bagi royalti minyak pula, jika pemberian 20 peratus royalti diagihkan, ia pasti mengurangkan dividen PETRONAS sebanyak RM12.5 bilion dan akan menjunamkan kelestarian PETRONAS dalam jangka masa panjang. Peratus royalti minyak di luar negara ialah China (empat hingga 12.5 peratus pada 1996); Texas di Amerika Syarikat – minimum 6.25 peratus dan di Australia – 10 hingga 12.5 peratus.

    Persoalannya, kenapa selama lapan tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan sebelum ini, beliau tidak pernah berusaha untuk menaikkan royalti minyak kepada negeri-negeri terbabit. Keistimewaan diterima oleh Sabah dan Sarawak, dan tidak ada di negeri di Semenanjung ialah perkiraan bayaran mengambil kira duti import, duti eksais, duti eksport petroleum serta hasil perlombongan galian semula jadi. PETRONAS sudah memberikan faedah sama rata kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

    Begitu juga dengan janji untuk mencapai pendapatan isi rumah minimum RM4,000, bermakna kadar pertumbuhan ekonomi perlu berada pada tahap 21.7 peratus. China, negara yang mempunyai paling tinggi pertumbuhan ekonomi pun sekadar pada tahap 10 peratus.

    Ini bermakna, peningkatan ekonomi yang dijanjikan pembangkang adalah tidak rasional. Contohnya, kerajaan DAP Pulau Pinang gagal menunaikan janji dalam pilihan raya umum lalu, untuk memberi pendapatan isi rumah sebanyak RM6,000 sebulan.

    Ketua Pengarah, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin ketika mengulas isu ini berkata, pelaksanaan cadangan itu boleh membebankan kedudukan kewangan kerajaan kerana ia memerlukan dana yang besar.

    “Contohnya, jika pendapatan isi rumah dinaikkan kepada tahap minimum RM4,000 sebulan, bukan saja wang yang banyak perlu disediakan tetapi menyebabkan berlaku inflasi jika dilaksanakan tanpa penambahan produktiviti,” katanya.

    Malah katanya, syarikat swasta juga mungkin akan menghadapi kesukaran untuk menaikkan gaji secara wajib seperti dikehendaki dalam Buku Jingga itu.

    Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahalan, pula berkata Buku Jingga yang dikeluarkan parti pembangkang tidak menggambarkan kehendak akar umbi secara keseluruhan.

    Malah, beliau berkata, penghasilan buku yang dilihat lebih bersifat manifesto politik itu boleh mengakibatkan Malaysia muflis dalam tempoh dua tahun jika dilaksanakan.

    “Saya amat kecewa apabila membaca Buku Jingga ini kerana berdasarkan fakta ekonomi di dalamnya, Malaysia boleh bankrap dalam tempoh dua tahun sekiranya pembangkang diberi peluang menguasai Putrajaya,” katanya.

    Malah dalam buku itu, pembangkang mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol.

    Ini bermakna, ia akan memakan belanja antara RM50 dan RM100 bilion. Jika ini dilaksanakan, ia akan meningkatkan defisit negara lebih daripada 6.4 peratus KDNK. Dengan pendapatan kerajaan RM158.6 bilion pada 2009, melaksanakan janji ini akan menelan kos hampir dua pertiga daripada jumlah keseluruhan pendapatan kerajaan persekutuan.

    Terbukti, janji DAP Pulau Pinang untuk menghapuskan Tol Sungai Nyior dan Tol Jambatan Pulau Pinang dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, tidak dapat ditunaikan meskipun setelah mendapat kuasa memerintah pulau mutiara itu.

    Selain itu, KWSP tidak boleh disalahgunakan kerana ia adalah khusus untuk simpanan rakyat semasa tua dan tidak boleh digunakan untuk menghapus bayaran tol.

    Hakikatnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah melakukannya seperti menurunkan kadar tol di Kampung Medan-Petaling Jaya Selatan daripada RM1.60 kepada RM1 bagi meringankan beban rakyat. Perakuan kerajaan BN bahawa kadar tol di empat lebuh raya PLUS tidak dinaikkan dalam masa lima tahun.

    Malah kerajaan akan menamatkan konsesi tol untuk Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught, berkuatkuasa Mei tahun ini.

    Pendeknya, memang mudah menabur janji tetapi untuk melaksanakannya secara praktikal, tidak semudah yang difikirkan. Sesiapa saja boleh menaruh impian, tetapi biarlah berpijak di bumi nyata. Kepada rakyat Sarawak yang akan turun mengundi pada 16 April nanti – pilihlah antara impian dan kenyataan.

  • /hwa: bharian.com.my | bh - 26/3/11

    Tiada ulasan: