30 Mac 2011

Muhyiddin tinjau persiapan pilihan raya BN Sarawak

KUCHING 30 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini hari ini untuk meninjau persiapan Barisan Nasional (BN) Sarawak menjelang pilihan raya negeri ke-10, 16 April ini.

Sejurus tiba, Muhyiddin mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin parti-parti komponen BN Sarawak yang diketuai Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga Ketua Menteri Sarawak di ibu pejabat PBB di Jalan Bako.

Pemimpin lain Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr James Masing; dan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Seri William Mawan.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, selepas itu mengadakan perjumpaan tertutup dengan anggota Majlis Tertinggi BN Sarawak di tempat sama dan diikuti dengan taklimat tertutup mengenai persiapan pilihan raya BN negeri.

Sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan pada 21 Mac, BN Sarawak menguasai 63 daripada 71 kerusi DUN — PBB 35 kerusi, SUPP 12 kerusi, PRS dan SPDP masing-masing lapan kerusi.

/hwa: utusan.com.my | bernama - 30/3/11

Tiada ulasan: