Pilihan raya kecil itu diadakan selepas kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 56, dari BN pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.
Pengundi pastinya tahu, siapa menjadi pilihan. Memilih wakil rakyat bukan hanya untuk faedah diri sendiri, malah keluarga, penduduk dan generasi akan datang. Oleh itu, mereka perlu membuat pilihan tetap. Jika tersilap pilih, padahnya bukan saja mereka yang tanggung, masyarakat keliling dan anak mereka.
Untuk itu, bagi pengundi yang ingin melihat kesinambungan pembangunan di Merlimau terus berjalan lancar untuk masa depan generasi mereka, pastinya mereka akan memilih calon BN, tetapi jika mereka ingin mengubah selera, PAS tentunya jadi pilihan.
Yang pasti semua pengundi terbabit sudah diberi ruang dan peluang untuk menilai siapa antara kedua-dua calon itu paling berhak mendapat undi mereka. Semuanya sudah dijelaskan kedua-dua calon yang dibantu jentera parti masing-masing mengenai apa yang akan mereka lakukan untuk kebaikan pengundi terbabit sepanjang kempen pilihan raya kecil itu sejak Sabtu lalu hingga 12 tengah malam tadi.
Bagi Roslan, beliau yakin kemenangan akan berpihak kepadanya berdasarkan sambutan dan maklum balas pengundi sepanjang tempoh kempen itu dan atas faktor BN, sememangnya calon BN itu akan mendapat sokongan pengundi di kawasan berkenaan.
"Momentum itu akan memberi kelebihan kepada saya. Insya-Allah ia akan diterjemahkan oleh undi, hari ini," katanya.
Berbanding Yuhaizad yang dilihat masih lemah berkomunikasi dengan media, terpaksa dibantu Pengarah Pilihan Raya PAS bagi DUN Merlimau, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman bagi menyuarakan peluangnya selepas bersengkang mata berkempen selama seminggu.
Abdul Halim mendakwa, jentera risikan PAS mendapati pengaruh parti itu sudah menambat 41 peratus pengundi Melayu, 75 peratus Cina dan 30 peratus India untuk mengundi parti itu pada pilihan raya kecil hari ini.
PAS tetap yakin untuk merampas kerusi itu daripada BN dan mengharapkan undi protes secara senyap daripada pengundi.
"Sekarang ini kita lihat kekuatan calon yang mampu meraih undi terutama selepas mengadakan kempen dari rumah ke rumah. Parti adalah perkara kedua," katanya.
Apa yang pasti selepas kempen pilihan raya kecil itu berakhir semalam, BN dilihat mempunyai peluang yang amat cerah untuk mengekalkan kerusi DUN Merlimau.
Selain Roslan yang sentiasa positif untuk mempertahankan kubu kuat BN ini, Pengarah Pilihan Raya Kecil Barisan Nasional (BN) bagi DUN Merlimau, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, juga sentiasa dengan nada sama, yakin pengundi di Merlimau bijak menilai apa yang terbaik untuk mereka.
BN menganggap manifestasi pengundi pada hari pengundian hari ini penting bagi membolehkan BN yang mempertahankan kerusi DUN Merlimau meneruskan khidmatnya dengan lebih cemerlang.
Lain pula rentaknya dengan PAS kerana sama ada parti itu dan rakan dalam pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, semua pemimpin terbabit yang turut berkempen pada pilihan raya kecil itu akur betapa sukarnya untuk mereka menembusi kubu kuat BN ini.
Abdul Halim mengakui parti itu tidak memasang cita-cita besar, tetapi mempunyai tiga matlamat dalam usaha merampas kerusi itu, iaitu menambah jumlah undi pembangkang, mengurangkan undi BN dan menang dengan majoriti kecil.
Walaupun sasaran majoriti yang diimpikan pembangkang agak kecil, apa yang penting bagi mereka ialah kemenangan. PAS juga tidak mengharapkan undi yang tinggi daripada Melayu kerana bagi parti itu cukup sekadar 45 peratus sokongan yang diperlukan.
Yang pasti, kita akan tahu siapa yang akan dipilih pengundi DUN Merlimau sama ada Roslan atau Yuhaizad kira-kira jam 8 malam ini.
Keputusan yang bukan saja dinanti-nantikan calon, jentera parti, pengundi dan rakyat di seluruh negara itu, akan mengubah landskap Merlimau kerana seperti dijanjikan jika BN menang, pembangunan di kawasan itu akan terus berjalan, malah melimpah ruah, tetapi jika PAS, yang rugi bukan saja pengundi, mereka dan generasi mereka. Buatlah pilihan bukan kerana emosi, tetapi kerana masa depan generasi. Tepuk dada tanya selera.
/hwa: bharian.com.my | bm - 6/3/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan