31 Mac 2011

Pemimpin BN perlu sentiasa mesra rakyat - Najib


Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor bergambar bersama ahli-ahli Bakti selepas merasmikan Mesyuarat Agung Bakti ke-34 di Bangunan Bakti Siti Hasmah Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 30 Mac - Datuk Seri najib Tun Razak mahu semua pemimpin Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak mengamalkan pendekatan terlalu formal ketika turun ke padang kerana ia boleh membentuk tembok antara mereka dengan rakyat.

Tegas Perdana Menteri, golongan pemimpin harus sedar, rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan masa depan BN dan oleh itu mereka perlu didekati dengan pendekatan lebih mesra tanpa wujud sebarang jurang pemisah.

Katanya, beliau sendiri dalam beberapa sesi lawatan ke negeri-negeri mengambil pendekatan kurang formal iaitu melalui cara mengurangkan protokol dan hasilnya rakyat mudah mendekatinya walaupun berhadapan dengan seorang Perdana Menteri.

''Jangan ada tembok antara kita dengan rakyat. Kita mesti menjadi seorang pemimpin rakyat, berjiwa rakyat. Inilah tema kita untuk kita berjaya dalam sistem demokrasi di negara ini.

''Saya sendiri kita mengadakan lawatan mahu pemimpin-pemimpin tempatan duduk di sekeliling saya dan bukannya pemimpin-pemimpin biasa. Saya mahu mendengar sendiri masalah mereka. Caranya kita perlu kurangkan protokol,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di Bangunan Bakti Siti Hasmah di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor dan Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta ahli-ahli Bakti yang lain.

Najib berkata, dalam sesi lawatannya ke negeri-negeri beliau mahu mendengar masalah daripada imam, pengerusi persatuan teksi, pengerusi persatuan penjaja dan ketua-ketua kampung.

''Pemimpin-pemimpin lain sudah biasa jumpa saya berbanding pemimpin-pemimpin tempatan. Bagi saya melalui sesi lawatan inilah masa paling sesuai untuk saya menemui mereka,'' katanya.

Beliau mengakui realitinya rakyat sekarang bukannya seperti dahulu kerana era ketika ini penuh dengan maklumat.

''Mahu tidak mahu kita perlu akui penanda aras untuk menjadi pemimpin pada hari ini lebih tinggi daripada dahulu kerana maklumat kini terlalu mudah diperoleh.

''Walaupun ada maklumat yang mampu disorok tetapi akhirnya ia akan terbongkar juga satu hari nanti. Oleh itu kita mesti membuat perubahan supaya kita mampu mengharungi cabaran politik dan sosial semasa,'' katanya.

/hwa: utusan.com.my | 31/3/11

Tiada ulasan: