31 Mac 2011

PKR gagal perjelas jumlah pelaburan

SHAH ALAM 30 Mac - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor gagal memberikan perangkaan sebenar tentang jumlah pelaburan yang berjaya dibawa masuk oleh pentadbiran parti pembangkang setelah mengambil alih teraju negeri ini.

Kegagalan itu dapat dilihat apabila Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan negeri, Teresa Kok enggan menjawab persoalan yang diajukan oleh seorang wakil Barisan Nasional (BN) mengenai perkara tersebut pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Sebaliknya, Exco kanan kerajaan negeri itu dilihat cuba mengalihkan perhatian dengan memberikan jawapan bahawa pelaburan di Selangor adalah yang tertinggi di negara ini, termasuk 13 projek melibatkan pelaburan asing dari Asia Barat bernilai RM376.8 juta sepanjang 2008 dan 2010.

''Selangor mencatatkan kemasukan pelaburan tertinggi di negara ini. Ini adalah hasil daripada pentadbiran pembangkang yang mesra pelabur," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Subahan Kamal (BN-Taman Templer) pada sidang DUN Selangor di sini hari ini.

Subahan mengemukakan soalan mengenai hasil pelaburan yang berjaya dibawa masuk oleh kerajaan negeri dan bukannya daripada Kerajaan Persekutuan.

Teresa sebaliknya menyelar Subahan dengan mendakwa wakil rakyat itu tidak hadir pada sidang DUN semalam kerana beliau menyatakan telah menjawab soalan tersebut.

Menangkis dakwaan itu, Subahan memberitahu, beliau hadir pada sidang DUN semalam, namun tiada sebarang jawapan diberikan juga oleh Teresa mengenai hasil pelaburan yang berjaya dibawa masuk oleh kerajaan negeri.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Abdul Khasim Abdul Aziz (Pas-Lembah Jaya) mengenai pelaburan dari Asia Barat, Teresa memberitahu, 13 projek masing-masing dari Iran, Syria, Turki dan Emiriyah Arab Bersatu adalah hasil kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Lembaga Kemajuan Industri Malaysia.

/hwa: utusan.com.my | 31/3/11

Tiada ulasan: