8 Mac 2011

Roslan angkat sumpah ADUN Merlimau


ROSLAN Ahmad mengangkat sumpah sebagai ADUN Merlimau pada majlis angkat sumpah sebelum pembukaan sidang DUN dan angkat sumpah di Seri Negeri, semalam.

MELAKA 7 Mac - Tidak sampai 14 jam selepas diumum memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada Pilihan Raya Kecil di Dewan Platinum Politeknik Merlimau malam tadi, calon Barisan Nasional, Roslan Ahmad kini sudah bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkuatkuasa hari ini.

Difahamkan, pelantikan itu mencipta sejarah dalam mana-mana Dewan Undangan Negeri kerana paling cepat melakukan upacara mengangkat sumpah pelantikan seseorang ADUN.

Kira-kira pukul 10.15 pagi, Roslan, 44, yang mengenakan kot warna kelabu dan bersongkok mengangkat sumpah sebagai ADUN di hadapan Speaker DUN, Datuk Othman Muhammad.

Majlis tersebut disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang turut merasmikan Persidangan Penggal Keempat DUN ke-12 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan barisan Exco kerajaan negeri serta 28 ADUN. Sidang DUN itu akan berakhir Khamis ini.

Selepas Roslan mengangkat sumpah dan melafazkan ikrar, beliau turut menandatangani surat pelantikan sebagai ADUN baru Merlimau menggantikan Allahyarham, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan yang meninggal dunia pada 20 Januari lalu.

Pada Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau semalam, Roslan yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin memperoleh majoriti 3,643 undi menewaskan calon Pas, Yuhaizad Abdullah, 38.

Roslan ketika ditemui selepas upacara mengangkat sumpah itu berkata, beliau melahirkan rasa syukur kerana dilantik sebagai ADUN Merlimau yang baru.

"Saya lega semuanya berjalan lancar dan perkara pertama yang akan saya lakukan ialah balik ke kawasan untuk berjumpa dengan seluruh pengundi di tujuh peti undi yang kesemuanya memihak kepada BN," katanya.

Menurutnya, beliau akan cuba menyelesaikan masalah rakyat yang dibangkitkan sepanjang kempen pilihan raya kecil berakhir semalam.

"Yang mana masalah utama yang patut didahulukan akan saya lakukan manakala selebihnya akan diselesaikan mengikut keperluan," katanya.

/hwa: utusan.com.my | um - 8/3/11

Tiada ulasan: