KUALA LUMPUR 14 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sudah tiba masanya bagi penerbit-penerbit buku di negara ini untuk mengeluarkan buku yang bermakna dan mampu merangsang minda selain dapat dibanggakan di persada antarabangsa.
Perdana Menteri berkata, penerbit-penerbit buku juga disarankan supaya tidak hanya berpuas hati dengan sekadar menghasilkan buku ulang kaji, cerita hantu, cerita-cerita skandal lucah mahupun bacaan ringan semata-mata.
Menurut beliau, ia amat bertepatan dengan hasrat kerajaan kini yang menekankan aspek modal insan yang berkaliber dan bertaraf global.
‘‘Dan dengan semangat 1Malaysia, saya percaya penghasilan buku berprestij seperti buku Tiang Seri Negara ini akan menjadi satu khazanah intelek negara dan menjadi sumber rujukan pelajar serta dapat mempertingkat integriti sekali gus memperkukuhkan jalinan perpaduan sesama kita,” katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran buku Tiang Seri Negara, Yang di-Pertuan Agong Semenjak 1957 yang dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Taman Perdana Diraja di sini hari ini.
Teks ucapan Najib dibacakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
Najib dalam pada itu berkata, secara individu dan bagi pihak kerajaan beliau amat mengalu-alukan buku Tiang Seri Negara, Yang di-Pertuan Agong Semenjak 1957 yang boleh meningkatkan darjat dan identiti negara serta memperkasakan institusi dan sistem pemerintahan beraja berperlembagaan di mata dunia.
Perdana Menteri berharap supaya agensi-agensi kerajaan dan swasta dapat melengkapkan koleksi mereka dengan buku Tiang Seri Negara agar ia dapat diakses oleh pegawai eksekutif dan warga kerja masing-masing.
Najib menarik perhatian, beliau difahamkan bahawa daripada simpanan buku yang terdapat di Perpustakaan Negara yang berjumlah 290,000 itu tidak sampai 500 judul yang berkaitan dengan Raja-Raja, Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Yang di-Pertuan Agong.
‘‘Saya menekankan hal ini kerana saya dapati penerbitan ini boleh menyemai dan memupuk kesedaran dan penghargaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan institusinya.
‘‘Dengan cara ini juga, kita boleh memperkuatkan rasa penghormatan dan kemegahan di kalangan rakyat agar tidak timbul gejala-gejala yang kurang manis berkaitan institusi ini,” katanya.
/hwa: utusan.com.my | 15/3/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan