17 Jun 2011

‘Berani buat, berani tanggung’

KUALA LUMPUR 16 Jun – “Berani buat, berani tanggung”. Itu amaran Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar terhadap penganjur sekiranya terus berdegil untuk mengadakan Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kali kedua di sini, pada 9 Julai ini.

Beliau menegaskan, undang-undang di negara ini adalah jelas dan pihak yang mempunyai maklumat wujudnya salah laku dalam pilihan raya di negara ini diminta membawanya ke mahkamah.

“Jika ada aduan salah laku pilihan raya, bawa ke mahkamah, bukan ke jalan raya. Jadi, jika masih berdegil untuk berhimpun secara haram, berani buat berani tanggung akibatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Tabung Amanah Perwira Pertahanan Negara (TAPPN) di Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Tegas Khalid lagi, pihaknya juga tidak akan berunding dengan penganjur perhimpunan itu kerana bimbang keselamatan awam akan terjejas.

Beliau menghormati hak asasi bersuara bagaimanapun tidak boleh berkompromi jika ada unsur yang boleh menjejaskan keselamatan awam.

“Kejadian yang tidak diingini mungkin berlaku kerana berlaku dua pertembungan ideologi yang menyokong dan membantah.

“Pihak penganjur meyasarkan 500,000 orang untuk berhimpun, jadi mustahil untuk dipastikan keadaan tenang sepanjang perhimpunan tersebut,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Khalid memaklumkan pampasan kepada anggota keselamatan yang terkorban dinaikkan sejak awal tahun ini kepada RM22,000 berbanding RM18,000 sebelum ini.

Bagi anggota keselamatan yang mengalami kecederaan kekal pula mendapat pampasan RM30,000 berbanding RM22,000.

Anggota yang cedera parah dan terpaksa berhenti perkhidmatan akan menerima imbuhan RM15,000 manakala yang cedera kekal tetapi mampu berkhidmat pula memperoleh RM10,500.

Balu kepada anggota yang menerima pencen terbitan kurang daripada RM800 sebulan akan mendapat bantuan sara hidup berbanding syarat penerima pencen kurang daripada RM400 sebulan, sebelum ini.

Khalid memberitahu, seramai lapan anggota polis terlibat dalam kemalangan jiwa dan kecederaan ketika bertugas sejak awal tahun ini berbanding 48 orang tahun lalu yang mencatatkan tujuh kematian.

/hwa: utusan.com.my | 17/6/11

Tiada ulasan: