TINDAKAN Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya dianggap oleh sebilangan politikus Islam sebagai tidak bijaksana. Malah ada yang melihatnya sebagai tidak beretika dan kurang sopan.
Mata hati mereka seperti dibutakan semata-mata mahu memelihara keterbukaan dan kekuasaan, walaupun banyak butiran siasatan tentang apa sebenarnya yang berlaku dalam pemeriksaan JAIS itu didedahkan.
Ini sehinggakan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan pun mengakui beratnya tekanan dari dalam partinya sendiri. Yang jelas ada sebilangan politikus pembangkang menolak tindakan JAIS itu. Pun begitu ramai di antara mereka bersama-sama NGO Islam menyokong tindakan ini.
Mereka menyedari isu lebih besar yang melampaui sempadan politik yang sekian lama dibangkitkan tetapi masih gagal ditangani, iaitu pemurtadan. Maka terlihatlah dalam hal akidah ini pun, sesama orang Islam masih mahu membiarkan diri mereka dipengaruhi oleh kepentingan politik.
Terserlah sejak awal lagi tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terlihat tidak bijak. Dalam nada mempertikai tindakan JAIS itu beliau menyebutnya sebagai serbuan. Sedangkan Exconya, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali yang membela tindakan JAIS menakrifnya sebagai pemeriksaan.
Hasan secara tegas juga menyatakan tiada serbuan, tiada tangkapan. Ia hanya pemeriksaan. Tetapi lihatlah mereka tidak peduli dan tetap mahu menggambarkan tindakan JAIS itu berkonotasi negatif.
Dari awal Abdul Khalid bernada memperlekeh JAIS. Mungkin sebab itu orang tidak melihat sebagai keterlaluan apabila Menteri Besar dihadiahkan dengan mangkuk tandas, mop dan penyapu. Mereka melihatnya sebagai lambang kegagalan beliau mengurus negeri secara baik dan bijaksana.
Kalaupun mahu membuat teguran kerana ia melibatkan isu besar dan sensitif, ia sepatutnya dilakukan secara tertutup. Tetapi tidak, Abdul Khalid dan konco-konconya seperti membuka pintu air memberi ruang kepada pihak lain menghentam JAIS dan undang-undang negeri.
Penguat kuasa JAIS mahu dijadikan musuh oleh kerajaan negeri, pihak yang memegang kekuasaan sedangkan ia sepatutnya dilindungi.
Secara sedar ataupun tidak, ia juga membuka ruang kepada pihak-pihak tertentu untuk mencabar dan mempertikai hal-hal lain yang selama ini tidak pernah terdengar. Sebahagian kesannya kini sudah dapat dirasakan.
Hari ini ketika Abdul Khalid melarang semua Exco mengulas mengenainya khususnya Exco berkaitan agama Islam, semua pihak menantikan ‘kebijaksanaan sebenar’ Menteri Besar dalam menyelesaikan kontroversi ini.
Mungkinkah ada pihak yang akan dikenakan tindakan, sebagai contoh dihadapkan ke mahkamah? Tidak mungkin tiada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan terhadap isu yang telah mencetuskan gegak gempita ini.
Imej JAIS pula harus dipulihkan sebagai autoriti yang boleh melaksanakan peranannya berdasarkan kuasa yang diperuntukkan. Penguat kuasa agama Islam ini harus terus dibenarkan bekerja agar kewujudannya dapat dirasai, agar orang tahu ia memang wujud.
Janganlah suka-suka menempelak JAIS, menjadikannya sebagai kambing hitam untuk kepentingan yang akhirnya memudaratkan agama Islam.
Banyak pihak mengharapkan ‘kontroversi’ tindakan JAIS ini menjadi momentum emas untuk menyelesaikan apa yang selama ini menjadi kebimbangan tersirat.
Justeru, semua pihak dituntut untuk bersikap terbuka dan jujur bagi menangani masalah pemurtadan ini. Angka lebih 230,000 umat Islam memeluk Kristian seperti didedahkan pada tahun 2008, bukan sekadar membimbangkan tetapi boleh mencetuskan konflik.
Dari hari ke hari, semakin ramai yang membawa isu ini ke mahkamah. Sudah tentu isu sensitif ini tidak perlu dipolitikkan, sebaliknya kekuatan harus segera digembleng agar ia tidak terus menghantui kita.
Dalam isu agama ini, politikus tidak boleh terus menciptakan lorong gelap atau sengaja memilih lorong gelap dengan pelbagai dalih demi kepuasan politik.
Dan orang seperti Abdul Khalid kini memegang kunci lorong gelap itu. Sebagai orang yang kini memegang kuasa negeri, beliau boleh sahaja memilih lorong mana tetapi juga mengunci yang gelap menjadi terang.
Tinggal lagi ia memerlukan keberanian dan kebijaksanaan Abdul Khalid sebagai seorang pemimpin Islam yang menjanjikan akan menyelesaikan isu itu selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Tetapi jangan pula nanti ia menjadi malapetaka kerana selama ini beliau sering memperlihatkan dirinya sebagai Menteri Besar yang bergantung kepada pesanan pihak lain.
/hwa: utusan.com.my | 16/8/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan