23 Ogos 2011

Pembangkang 'hantu pilihan raya'

DULU semasa hendak menjelang hari raya, orang tua-tua selalu berpesan kepada kanak-kanak supaya jangan main di luar rumah pada larut malam, kononnya ketika itu hantu raya berkeliaran.

Malahan di sesetengah kampung, mereka percaya bahawa hantu raya sememangnya muncul menjelang hari raya dan akan mengganggu penduduk.

Justeru wujudlah kebimbangan, keresahan dan kesangsian terutamanya soal siapakah yang bakal menjadi tuan kepada hantu raya tersebut.

Jika senario ini dikaitkan dengan suasana politik sekarang adalah tidak salah jika kita menyatakan bahawa menjelang hari raya tahun ini, rakyat negara ini turut diancam oleh 'hantu'.

Bagaimanapun 'hantu' yang dimaksudkan bukannya hantu raya tetapi 'hantu pilihan raya' - iaitu suatu kelompok yang terdiri daripada parti pembangkang yang kini begitu ghairah bercakap soal pilihan raya.

Sama ada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP mahupun Pas, kesemuanya bagaikan 'hantu pilihan raya' apabila terus mempertikai satu demi satu pelaksanaan amalan demokrasi berkenaan.

Pada 9 Julai lalu iaitu beberapa minggu sebelum umat Islam menyambut Ramadan, ketiga-tiga parti berkenaan, cuba menunjukkan sikap 'hantu' mereka apabila menghuru-harakan Kuala Lumpur melalui demonstrasi jalanan.

Mereka menuntut sebuah pilihan raya yang bebas dan adil tetapi dalam masa yang sama menolak sebarang usaha untuk mengadakan rundingan bagi menyelesaikan apa yang mereka lihat sebagai masalah.

Apabila demonstrasi jalanan itu tidak mendapat sambutan rakyat, pembangkang tidak berputus asa, bagaikan dirasuk 'hantu', mereka mula mempertikai perkara-perkara lain yang kemudiannya dikaitkan dengan pilihan raya.

Ia termasuklah dakwaan bahawa Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau Program 6P menyeludup pendatang.

Walaupun program tersebut bertujuan mendapatkan data biometrik setiap PATI untuk rasional keselamatan, terutamanya dalam menangani masalah membabitkan kes pemalsuan identiti serta dokumen perjalanan antarabangsa, namun hujah itu tidak diterima.

Sebaliknya seorang ahli Parlimen pembangkang membuat dakwaan bahawa Program 6P sebagai muslihat kerajaan untuk menyeludup pengundi dan melabelkannya cubaan menjual kedaulatan negara.

Ahli Parlimen berkenaan membuat dakwaan tidak masuk akal apabila mendakwa Program 6P mensyaratkan PATI supaya membaca skrip bersumpah menyatakan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebahagian proses pemutihan.

Tidak cukup dengan itu, pembangkang juga mendakwa kerajaan BN memberi kad pengenalan biru kepada pemegang kad merah bagi membolehkan mereka menjadi pengundi.

Kita tidak harus lupa bahawa pembangkang juga sebelum ini bagaikan kerasukan hantu apabila mendakwa wujudnya pengundi-pengundi hantu.

Walaupun berbuih mulut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperjelaskan bagaimana istilah pengundi hantu itu boleh wujud namun sudah menjadi adat pembangkang mereka tidak mahu menerimanya.

Mereka tetap menuntut supaya senarai daftar pemilih dibersihkan dan inilah 'lagu dan irama' yang sering mereka dendangkan setiap kali pilihan raya hendak diadakan.

Tetapi apa yang melucukan, apabila keputusan sesuatu pilihan raya itu menyebelahi mereka, pembangkang bagai 'hantu' kekenyangan, diam seribu bahasa.

Sebenarnya, pembangkang sudah menjadi 'hantu pilihan raya' dan sudah menjadi sikap hantu, mereka takut kepada kebenaran apatah lagi yang bertujuan menghalau makhluk berkenaan.

Itulah yang dilakukan oleh pembangkang apabila mereka menolak mentah-mentah komitmen kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen.

Walaupun penubuhan jawatankuasa berkenaan bagi memberi ruang kepada semua pihak termasuk pembangkang menyertainya bagi membolehkan mereka memberikan idea dan pendapat untuk memperbaiki sistem pilihan raya tetapi ia tidak mahu diterima.

Sebaliknya, pembangkang memberi seribu satu alasan terhadap penubuhan jawatankuasa itu termasuklah kononnya kerajaan tidak memanggil mereka untuk berunding sebelum penubuhan jawatankuasa tersebut diumumkan.

Adalah sesuatu yang malang apabila pembangkang terutamanya Pas memandang serong penubuhan jawatankuasa itu dengan menganggap ia 'penghias jendela'.

Inilah sikap pembangkang, mereka sentiasa memandang negatif terhadap apa juga yang hendak dilakukan oleh kerajaan.

Sepatutnya, mereka menyertai dulu jawatankuasa berkenaan, barulah mereka tahu apa kebaikannya, tetapi pembangkang tidak mahu bersikap demikian.

Lebih melucukan tanpa mahu mengukur baju di badan sendiri, ada ahli Parlimen pembangkang yang menunjukkan kecetekan berpolitik apabila meminta jawatankuasa itu dipengerusikan oleh pembangkang.

Soalnya, dalam Dewan Rakyat, siapa yang menjadi majoriti, pembangkang atau BN?

Itu belum lagi termasuk bagaimana, Pemuda Pas membangkitkan kemarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila mendapat pandangan beberapa bekas anggota pasukan itu yang mendedahkan kononnya undi pos telah dimanipulasikan oleh kerajaan BN.

Demikianlah sikap pembangkang, seperti juga mitos hantu raya yang menimbulkan kebimbangan, keresahan dan kesangsian, begitulah juga peranan pembangkang yang menjadi 'hantu pilihan raya'.

Mereka sengaja menimbulkan pelbagai andaian, tohmahan dan fitnah semata-mata untuk mewujudkan perasaan sangsi di kalangan rakyat terhadap perjalanan pilihan raya umum akan datang.

Apabila usaha mereka berjaya, ia sekali gus akan menutupi kelemahan pembangkang yang hakikatnya cukup tidak layak untuk memimpin negara ini.

Sebab itulah pembangkang takut apabila ada komitmen dan kesungguhan kerajaan serta SPR untuk bersedia mengkaji serta memperbaiki apa yang pembangkang inginkan.

Oleh itu apa yang dilakukan oleh pembangkang bukanlah ikhlas untuk memakmurkan lagi amalan demokrasi melalui pilihan raya, sebaliknya hanya mahu menjadi 'hantu pilihan raya' yang bertujuan mewujudkan keraguan di kalangan rakyat dan memburuk-burukkan kerajaan.

/hwa: utusan.com.my | 23/8/11

Tiada ulasan: