20 September 2011

111 terima tajaan tunai haji 1MDB


NAJIB Tun Razak menyampaikan surat tawaran kepada bakal-bakal haji pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Menunaikan Fardu Haji 1432H tajaan Yayasan 1MDB di Sri Perdana, Putrajaya semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

PUTRAJAYA 19 Sept. - Seramai 111 pemimpin masyarakat terdiri daripada imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dipilih menerima tajaan menunaikan fardu haji tahun ini oleh Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tajaan untuk 57 imam dan 54 pengerusi JKKK itu bertujuan menghargai jasa, peranan serta sumbangan mereka terhadap agama, bangsa dan negara.

Menurut beliau, sudah menjadi hasratnya sejak memegang jawatan nombor satu negara untuk melaksanakan program tersebut dan bersyukur kerana ia dapat disempurnakan mengikut kemampuan kerajaan.

''Untuk memartabatkan kedudukan dan kebajikan imam-imam serta ketua kampung, langkah yang kerajaan ambil ialah dengan menaikkan elaun imam dan pengerusi JKKK supaya tidak berada di paras kemiskinan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan surat tawaran mengerjakan haji anjuran Yayasan 1MDB di Sri Perdana, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengarah Urusan Tabung Haji, Datuk Isme Ismail.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berhasrat menjadikan skim tersebut sebagai program tahunan bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan menunaikan rukun Islam kelima.

''Semasa di Padang Arafah nanti tolong doa untuk negara supaya Malaysia terus aman, makmur dan rakyat mendapat rahmat dari Allah SWT.

''Saya juga berharap agar bakal-bakal haji ini dapat mengerjakan ibadat dalam keadaan yang sempurna dan dianugerahkan haji mabrur di tanah suci," katanya.

Pada majlis tersebut, Najib turut mengumumkan pemberian RM1,000 sebagai wang saku kepada semua bakal haji berkenaan.

Kos menunaikan fardu haji tahun ini ialah RM9,980 dan program tajaan itu adalah pertama kali dianjurkan oleh 1MDB.

/hwa: utusan.com.my | 20/9/11

Tiada ulasan: