29 September 2011

Isu hudud: Pas dalam dilema

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Pas pusat dilihat sedang berada dalam dilema untuk mempertahankan cadangan Pas Kelantan bagi melaksanakan hukum hudud di negeri itu, terutama jika mahu mengekalkan hubungan dengan parti pembangkang lain.

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu, Che Hamdan Che Mohd. Razali berkata, tindakan Pas pusat itu menjadikan usaha Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud tidak konsisten walaupun mereka mendapat sokongan rakyat khasnya generasi muda.

“Saya berpendapat, Pas Kelantan tidak akan menghadapi masalah untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan kerana mereka serius mengenainya.

“Namun, ia akan memberi kesan kepada hubungan di antara parti-parti di dalam pakatan pembangkang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Che Hamdan dalam pada itu berkata, Pas dan DAP tidak akan kekal dalam pakatan pembangkang kerana mereka sering berbeza fahaman dan pendapat khasnya dalam hal-hal yang menyentuh soal Islam.

“Walaupun sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya akan datang, mereka tetap akan berhadapan dengan masalah kerana Pas dan DAP bukan merupakan pasangan yang ideal.

“Justeru, jika DAP serius dengan kenyataan menentang cadangan Pas melaksanakan hukum hudud, mereka dipersilakan untuk keluar daripada pakatan pembangkang,” katanya.

Sementara itu Che Hamdan berkata, pihak pembangkang tidak boleh menyalahkan media dalam isu hudud kerana ia dicetuskan sendiri oleh Pas Kelantan.

/hwa: utusan.com.my | 28/9/11

Tiada ulasan: