26 September 2011

Kayuh basikal kembalikan nostalgia PM


NAJIB Tun Razak (tengah) melambai tangan ketika berkayuh pada program Kayuhan Amal 1Malaysia Untuk Pelajaran di Tanjong Tokong, Pulau Pinang, semalam. – Bernama

PULAU PINANG 25 Sept. – Undangan melancarkan program Kayuhan Amal Untuk Pendidikan 1Malaysia di Penang Straits Quay hari ini mengembalikan nostalgia Datuk Seri Najib Tun Razak mengayuh basikal.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak ingat bila kali terakhir mengayuh basikal namun tidak pernah melupakan kenangan 50 tahun lalu berbasikal semata-mata untuk membeli nasi lemak.

Najib berkata, ketika zaman kanak-kanaknya, beliau yang tinggal di Seri Taman, Kuala Lumpur, sanggup berbasikal ke Hospital Tang Ling untuk membeli nasi lemak yang memang terkenal di situ.

“Dengan berbekalkan 30 sen atau 50 sen, saya akan mengayuh basikal setiap hari untuk membeli nasi lemak yang saya rasa adalah yang terbaik di negara ini.

“Kalau 30 sen, saya dapat nasi lemak berlaukkan sambal, telur dan kerang manakala kalau 50 sen ada tambah daging,” katanya ketika berucap selepas menamatkan kayuhan sejauh enam kilometer dari Straits Quay ke persimpangan Jalan Gurney di sini hari ini.

Sebanyak RM16 juta berjaya dikutip pada program anjuran bersama 1Malaysia Development Berhad itu yang dianjurkan bagi mengutip dana membantu 10 buah sekolah menengah jenis kebangsaan dan lima buah sekolah menengah persendirian Cina di seluruh Pulau Pinang.

Seramai 8,000 pelajar sekolah berdiri mengibarkan Jalur Gemilang di tepi jalan serta 3,000 peserta berbasikal bersama-sama 300 orang tetamu kenamaan termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen.

Tambah Perdana Menteri lagi, bagi mengelakkan sebarang masalah ketika berkayuh hari ini, beliau terpaksa berlatih di hotel penginapannya malam tadi.

“Ramai kakitangan hotel terkejut melihat saya mengayuh basikal berulang-alik di koridor bilik ke hadapan lif.

“Hari ini pun saya diberi pilihan untuk berpatah balik selepas mengayuh sejauh 1 kilometer tapi saya tetap teruskan sehingga ke garisan penamat demi untuk membantu mencapai objektif program ini,” ujarnya.

/hwa: utusan.com.my | 25/9/11

Tiada ulasan: