19 September 2011

Tidak masuk akal, merepek - Kay Kim

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Tokoh sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menyifatkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan, yang mahu menukar Jalur Gemilang sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya akan datang sebagai tidak masuk akal dan merepek.

Beliau menegaskan, kenyataan itu juga menunjukkan ADUN tersebut cetek ilmu pengetahuan terutama sejarah.

Menurutnya, isu persamaan bendera Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang dibangkitkan oleh Manoharan turut menunjukkan wakil rakyat DAP itu tidak memahami tentang pelaksanaan sistem persekutuan yang diamalkan di negara ini.

"Bendera kedua-dua negara itu mempunyai kaitan dengan sistem persekutuan yang diamalkan.

Saya yakin dia akan faham tentang asal-usul Jalur Gemilang yang dia katakan meniru bendera AS jika dia mempelajari sejarah tersebut.

"Saya nasihatkan lebih baik beliau simpan sahaja idea mengubah bendera tersebut dalam minda beliau daripada berterusan mengeluarkan kenyataan tidak logik, merepek dan langsung tidak bermakna," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Manoharan yang menegaskan pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.

Tambah Kay Kim, ADUN DAP itu seperti sengaja mencari jalan untuk menimbulkan lagi huru-hara dalam negara ketika isu mengagungkan tali barut komunis, Muhammad Indera sebagai hero dalam peristiwa Bukit Kepong oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu masih belum selesai.

"Macam-macam isu dan ideologi merepek yang seperti sengaja dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang untuk menghuru-harakan keamanan negara dan mengelirukan minda rakyat.

"Mungkin tindakan mereka yang menimbulkan isu sensitif ini disengajakan ataupun mereka sebenarnya tidak mempunyai ilmu pengetahuan sejarah yang baik," katanya.

Menurutnya, rakyat negara ini sepatutnya tidak cepat mempercayai sesuatu ideologi dan kenyataan yang merepek dan tidak bermakna.

Sementara itu, pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, kenyataan tersebut benar-benar melampau, sempit otak dan jelas menampakkan ketaksuban dalam politik.

"Ideologi menukar Jalur Gemilang yang dinyatakan ADUN DAP itu mengarut dan sengaja mencabar perlembagaan negara.

"Lebih saya kesalkan apabila isu kematian, jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd. Nor di Somalia turut dikait dan dipolitikkan dengan Jalur Gemilang," katanya.

Ramlah juga berkata, banyak negara mempunyai bendera yang seakan-akan sama, jadi memang sangat keterlaluan jika isu kematian pun mahu dipolitikkan.

/hwa: utusan.com.my | 19/9/11

Tiada ulasan: